SEORANG guru wanita yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah sehingga mengorbankan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu, direman dua hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru berkenaan di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu membabitkan dua pelajar perempuan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan terbabas sebelum melanggar kedua-dua mangsa.
Akibat kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi parah dan kini menerima rawatan di hospital.


