Harga petrol, diesel tanpa subsidi naik 5 sen – MoF

HARGA runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik antara 5 sen seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September depan.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, bagi tempoh berkenaan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.30 seliter berbanding RM4.25 seliter, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.82 seliter berbanding RM3.77 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.72 seliter berbanding RM4.67 sebelum ini.

Pada masa sama, kata kementerian itu, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah Budi MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Kerajaan MADANI menanggung subsidi RM1.83 seliter bagi pengguna layak di bawah BUDI95 bersamaan dengan sekitar 48 peratus daripada harga RM1.99 seliter dibayar di pam.

“Bagi BUDI Diesel, subsidi ditanggung adalah RM2.62 seliter atau 56 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi,” menurut kenyataan MoF yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu menambah, sekatan trafik di Selat Hormuz yang berterusan terus mengekang bekalan minyak dunia.

“Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sekitar 290 juta daripada 400 juta tong minyak yang dipersetujui untuk dilepaskan daripada simpanan kecemasan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah disalurkan ke pasaran setakat Julai 2026.

“Gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia terus mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis sekali gus memberi tekanan lebih ketara terhadap harga diesel berbanding petrol,” kata kenyataan itu.

MoF turut memberi jaminan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar bagi pengguna yang layak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here