Pasar haram Klang Utama digempur, barangan perniagaan disita

AKTIVITI pasar haram membabitkan warga asing di Jalan Pelaburan, Klang Utama digempur dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), semalam.

Operasi membabitkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penjaja tanpa lesen serta memastikan semua premis perniagaan dan penjaja mematuhi undang-undang kecil serta syarat pelesenan yang ditetapkan.

MBDK dalam kenyataan memaklumkan, tindakan sitaan dikenakan terhadap 10 penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Antara barangan yang disita ialah alat penimbang, sayur-sayuran, ayam hidup, meja, kerusi dan buah-buahan sebelum dibawa ke depot untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, dua premis perniagaan turut dikenakan tindakan sitaan membabitkan sebuah kedai makan dan sebuah premis nombor ramalan haram,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut MBDK, di premis kedai makan, pihak penguat kuasa menyita dapur gas, tong gas petroleum cecair (LPG), kipas dan alat penimbang.

Katanya, di premis nombor ramalan haram pula, sebuah pencetak mudah alih serta telefon bimbit turut disita.

“Dalam operasi sama, tiga kompaun dikeluarkan atas pelanggaran Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 serta UUK Iklan (MPK) 2007,” menurut kenyataan itu.

MBDK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau premis yang melanggar undang-undang dan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi memastikan ketenteraman, keselamatan serta kesejahteraan komuniti di Klang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img