SEORANG lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan mengedar hampir 40 liter cecair dadah sintetik jenis fentanil, pada awal bulan ini.
Tertuduh, Him Mat, 65, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas mengedar dadah berbahaya jenis fentanil seberat 39.9 liter di sebuah rumah di Padang Besar kira-kira jam 5.50 petang pada 1 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum gantung, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Check Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah dimaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes itu akan dipindahkan ke mahkamah lain untuk perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan polis Perlis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah sintetik menggunakan katrij cecair disyaki mengandungi Furanylfentanyl bernilai kira-kira RM34.31 juta menerusi tiga serbuan berasingan.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dilaporkan berkata, cecair dadah sintetik itu dipercayai dimasukkan ke dalam katrij rokok elektronik bagi meningkatkan kesan khayal sebelum diseludup ke negara jiran.





