Hormati mandat rakyat NS pilih BN-PN…

SEMALAM heboh seketika bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan akan dibawa masuk ke dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan (NS) yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

Bagi penulis kalau benarlah ada usaha ke arah itu, tidak kiralah cadangan atau pandangan tersebut datang daripada sesiapapun, ia bukan sahaja tidak wajar malah satu tindakan ‘bunuh diri’ kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Ia kerana BN yang menjalin persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat daripada rakyat yang mahukan perubahan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Rakyat tahu walaupun BN berada dalam kerajaan negeri sebelum PRN iaitu sejak 2023 namun BN tidak ada banyak suara kerana kerajaan negeri dikuasai oleh PH.

Atas sebab itulah  pada PRN Sabtu lalu, pengundi khususnya orang Melayu berpakat untuk menolak PH dengan menjadikan kerjasama BN-PN sebagai ‘platform’ bagi melunaskan misi tersebut.

Tetapi kalau benarlah kononnya atas semangat Kerajaan Perpaduan di pusat maka ia harus dicerminkan di Negeri Sembilan, bagi penulis ia tindakan tidak masuk akal.  Ia kerana sudah amat jelas, rakyat Negeri Sembilan tidak mahu PH.

Pakatan itu bertahan dengan 11 kerusi yang sembilan daripadanya dimenangi oleh DAP manakala PKR dua kerusi.  Keadaan itu bermakna daripada 20 kerusi yang dimenangi oleh PH pada tahun 2018, ia terus berkurangan dalam dua pilihan raya terakhir iaitu mendapat 17 kerusi pada 2023 dan terkini 11 kerusi.

Situasi itu sudah menampakkan dengan jelas isyarat daripada rakyat apa yang mereka mahukan. Justeru kalau ada cadangan, gerakan atau arahan yang minta PH dibawa masuk dalam Kerajaan NS, bagi penulis ia adalah satu tindakan yang sama sekali tidak menghormati hak mutlak rakyat sebagai pengundi.

Bagaimanapun penulis berharap desas-desus yang tersebar hanya khabar angin, lagipun penulis yakin PH khususnya DAP masih ada maruah politik. Mereka amat memahami isyarat daripada rakyat sebab itulah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

 Sememangnya amat melegakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Mohd Asna Amin  menafikan wujud perbincangan membawa PH menyertai pentadbiran Negeri Sembilan.

“Berkenaan isu ada ura-ura perbincangan membawa PH dalam kerajaan, saya ingin menegaskan, langsung tiada perbincangan. Titik,” kata wakil rakyat BN itu di Facebook.

Kenyataan Mohd Asna sekaligus menutup segala spekulasi yang bertebaran memandangkan ia menjejaskan kestabilan politik di negeri itu yang baru sahaja mahu dipulihkan selepas PRN.

Apapun penulis berharap, biarlah apa yang disebarkan sebelum ini kekal menjadi TITIK. Ia kerana nampak sangat kalau itu berlaku ia bukan lagi taktikal tetapi  akan mengundang petaka khususnya kepada BN dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Oleh itu atas semangat PRN Negeri Sembilan sudahpun berakhir, Menteri Besarpun sudah dilantik manakala Exco Kerajaan Negeri dijangka dimuktamadkan maka adalah diharapkan segala spekulasi dihentikan.

Cukup-cukuplah dengan kerja-kerja atau taktikal politik yang dilihat cuba memperbodohkan rakyat. Keputusan sudah muktamad, BN-PN menang PRN Negeri Sembilan maka merekalah yang tubuh kerajaan dan kesemua kerusi Exco Kerajaan Negeri adalah mesti diisi oleh ADUN kedua-dua parti itu…TITIK!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img