Hujan berterusan: Banjir landa beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, Selangor

BEBERAPA kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor dinaiki air termasuk kenderaan terperangkap dalam banjir kilat susulan hujan berterusan sejak  jam 9 pagi ini.

Di Selangor, beberapa video tular dimuat naik orang awam memaklumkan kawasan terjejas membabitkan sekitar Meru, Jalan Haji Manan, lokasi berhampiran Klang Sentral, juga kawasan Setia Alam di sempadan daerah Shah Alam-Klang.

Dalam video turut ditunjukkan sebuah kenderaan dipercayai tersangkut dalam limpahan air berhampiran Setia Alam menuju Klang.

Seorang pengguna aplikasi Threads, @shazwawan berkongsi keadaan banjir di Setia Alam.

“Jam 1.35 tengah hari, paras air semakin meningkat di hadapan NSK di Setia Alam. Jangan buat pusingan U kerana anda mungkin tersangkut dalam banjir,” katanya.

Berdasarkan hantaran mereka, ada pengguna jalan raya yang terpaksa berpatah balik kerana laluan tidak dapat dilalui kenderaan ringan sekitar jam 1 tengah hari tadi.

Ada juga yang mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak melalui jalan-jalan berkenaan.

“Siapa ingat jalan itu memang kena hati-hati… ada longkang, jangan dekat sangat dengan tembok itu. Jalan Haji Manan depan kilang Maxter juga air tengah naik,” kata seorang pengguna jalan raya.

Seorang lagi pengguna, @imalmast, turut memuat naik situasi sama di Meru.

“Hari ini jam 1 tengah hari di Meru. Mujur sempat tukar MyVi saya kepada mod ‘jetski’,” katanya.

Ada juga menyatakan kekecewaan kerana banjir terus berulang setiap kali hujan meskipun bukan hujan lebat.

Difahamkan hujan bermula sekitar jam 9 pagi tadi menjejaskan beberapa kawasan di Klang seperti Meru, Kapar, Pandamaran, juga Setia Alam dalam daerah Shah Alam dan Puncak Alam.

Sementara itu di Kuala Lumpur, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan kepada pengguna jalan raya.

Seorang pengguna Threads, @tharsh.h berkongsi keadaan jalan raya di Ampang yang dinaiki air susulan hujan lebat.

“Adakah hujan turun di seluruh Malaysia? Ampang banjir,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan sembilan negeri serta tiga Wilayah Persekutuan hingga jam 5 petang ini.

Hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img