SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden membakar suar membabitkan penyokong bola sepak Selangor FC di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, pada 1 Februari lalu.
Baginda selaku Penaung Selangor FC tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gengsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
Menerusi kenyataan Istana Alam Shah, Sultan Selangor mahu pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda melalui kenyataan dalam laman sosial Selangor Royal Office.
Dalam kenyataan itu, baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” jelas kenyataan itu lagi.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 33 individu dipercayai penyokong Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian itu.
Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dan difahamkan mereka dipercayai melakukan perbuatan itu di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan memiliki dadah.



