Ibu tunggal, buruh kasar didenda gadai gelang tangan palsu

SEORANG ibu tunggal dan seorang buruh kasar masing-masing didenda RM3,000 dan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang, hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan menggadaikan gelang tangan palsu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Jameah Ibrahim, 48, dan Yussuf Harun, 62, selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan Jameah dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Yussuf dikenakan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jameah didakwa memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikannya adalah emas tulen, sedangkan barang kemas itu sebenarnya palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang, kira-kira jam 12.46 tengah hari, Selasa lalu.

Jameah didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yussuf didakwa memperdaya individu sama dengan menggadaikan seutas gelang tangan emas seberat 9.2 gram yang sebenarnya palsu bagi mendapatkan wang RM3,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 3.10 petang, 14 September lalu.

Yussuf didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Sinar Harian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here