TIDAK sampai 24 jam pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Negeri Sembilan akan dijalankan, Firma Penyelidikan Bebas ILHAM Centre hari ini mengunjurkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menguasai 22 kerusi, sekaligus membentuk blok majoriti yang stabil, manakala PH pula dijangka memenangi minima 9 kerusi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 19 kerusi manakala bagi majoriti dua pertiga ialah 24 kerusi.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar dalam satu kenyataan berkata, terdapat lima kerusi yang sukar diramal iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
‘’Kerusi-kerusi ini memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon. Sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri,’’ katanya.
Dalam kenyataan itu ILHAM Centre turut menggariskan faktor-faktor yang disifatkan oleh firma itu akan mengakhiri Kerajaan Negeri PH di Negeri Sembilan termasuklah gelombang Melayu Islam.
Berikut kenyataan penuh Hisommuddin dan hasil dapatan firma itu yang melaksanakan kajian lapangan bermula 18 Julai sehingga 30 Julai 2026:
PRN Negeri Sembilan kali ini memperlihatkan politik identiti kembali menjadi faktor paling dominan dalam membentuk tingkah laku pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Kempen tidak lagi tertumpu kepada pertandingan rekod pentadbiran, pembangunan atau prestasi kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya bergerak kepada persoalan yang lebih bersifat identity seperti agama, kedudukan orang Melayu dan kuasa politik Melayu.
Naratif tersebut dibina secara konsisten sepanjang tempoh berkempen sehingga berjaya mengubah kerangka pertimbangan pengundi. Isu ekonomi, pembangunan negeri dan pencapaian pentadbiran tidak lagi menjadi penentu utama. Sebaliknya, pengundi membuat pilihan berdasarkan persepsi siapa yang lebih berupaya mempertahankan kepentingan agama dan bangsa.
Apa yang menarik, politik identiti kali ini tidak lagi bergerak secara eksklusif di bawah jenama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana yang berlaku dalam PRU15 dan PRN 2023.
Sebaliknya, ia berkembang menjadi naratif bersama yang dikongsi oleh penyokong Barisan Nasional (BN) dan PN. Kesepakatan ini menjadikan mesej yang sampai kepada pengundi Melayu jauh lebih konsisten dan akhirnya mempercepatkan proses penyatuan sokongan di peringkat akar umbi.
Dapatan ILHAM Centre menunjukkan sentimen mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam menjadi justifikasi utama yang digunakan oleh penyokong kedua-dua parti untuk menjayakan kerjasama antara BN dan PN.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) gagal menawarkan naratif balas yang mampu menyaingi kekuatan politik identiti tersebut. Kempen yang berteraskan pencapaian kerajaan negeri, tadbir urus dan rekod pentadbiran tidak mempunyai kekuatan emosi yang setanding dengan naratif identiti yang dimainkan secara berterusan sepanjang kempen.
Dalam konteks ini, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertandingan antara parti politik, tetapi pertandingan antara dua kerangka pemikiran yang berbeza. Satu pihak menawarkan kesinambungan pentadbiran dan prestasi kerajaan, manakala satu pihak lagi meletakkan pilihan raya sebagai medan mempertahankan identiti Melayu-Islam.
Berdasarkan dapatan lapangan ILHAM Centre, kerangka kedua ternyata lebih berjaya mempengaruhi keputusan pengundi Melayu pada pilihan raya kali ini.
Kombinasi BN-PN Mencipta Gelombang Melayu-Islam Lebih Besar Berbanding Johor
PRN Negeri Sembilan memperlihatkan pembentukan gelombang politik Melayu- Islam yang lebih tersusun dan efisien berbanding apa yang berlaku dalam PRN Johor sebelum ini.
Jika di Johor, sokongan Melayu lebih banyak digerakkan secara berasingan antara BN dan PN, di Negeri Sembilan kedua-dua blok berjaya membentuk persefahaman yang lebih jelas sehingga mewujudkan perpindahan undi yang lebih tersusun di peringkat akar umbi.
Gelombang ini bukan sekadar lahir daripada kerjasama kepimpinan parti, sebaliknya diperkukuhkan oleh naratif bersama yang dibawa sepanjang kempen. Isu penyatuan undi Melayu, kestabilan politik dan keperluan menghalang kemenangan PH menjadi tema yang diulang secara konsisten sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu, termasuk pengundi atas pagar.
Kesan langsung daripada perkembangan ini ialah BN berjaya mengukuhkan penguasaan di hampir semua kubu tradisinya, manakala PN memperoleh manfaat berganda di kawasan yang ditandingi mereka melalui limpahan undi penyokong BN. Formula ini menjadikan pertandingan lebih mencabar kepada PH berbanding PRN Negeri Sembilan 2023.
Perpindahan Undi BN-PN Berlaku Dengan Lebih Berkesan
Kajian ILHAM Centre mendapati proses perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlangsung dengan jauh lebih berkesan berbanding jangkaan awal. Persefahaman politik yang dibentuk menjelang pilihan raya akhirnya berjaya diterjemahkan di peringkat akar umbi, sekali gus mengurangkan kebimbangan bahawa penyokong kedua-dua parti akan melakukan protes senyap atau enggan mematuhi arahan parti.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa perpindahan undi ini tidak berlaku secara simetri antara kedua-dua parti. Di kerusi yang ditandingi oleh BN, penyokong PN memindahkan undi mereka pada kadar yang amat tinggi, iaitu sekitar 92 peratus. Sebaliknya, di kerusi yang ditandingi oleh PN, penyokong BN memindahkan undi pada kadar sekitar 75 peratus.
Perbezaan ini menggambarkan bahawa masih wujud sebahagian penyokong tradisi BN yang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan formula kerjasama baharu, khususnya di kawasan yang sebelum ini menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua parti.
Namun demikian, jurang perpindahan undi tersebut tidak menjejaskan objektif utama kerjasama berkenaan. Secara keseluruhannya, tahap konsolidasi undi Melayu yang berjaya dibentuk adalah cukup besar untuk menghasilkan kelebihan kompetitif kepada gabungan BN-PN.
Formula satu lawan satu dalam kalangan pengundi Melayu akhirnya mengurangkan kebocoran undi yang sebelum ini sering berlaku apabila kedua-dua parti bertembung sesama sendiri.
Keadaan ini turut membentuk persepsi bahawa keutamaan mempertahankan dominasi politik Melayu-Islam mengatasi pertimbangan sentimen kepartian yang wujud sebelum ini. Impak paling ketara daripada konsolidasi tersebut ialah kegagalan Pakatan Harapan menembusi kelompok pengundi Melayu pada skala yang signifikan.
Kajian ILHAM Centre menganggarkan PH hanya memperoleh sekitar 18 peratus sokongan pengundi Melayu, sekali gus memperlihatkan defisit sokongan yang amat ketara berbanding gabungan BN-PN.
Jurang ini akhirnya menjadi faktor penentu dalam kebanyakan kerusi majoriti Melayu apabila perpindahan undi antara BN dan PN berjaya mengimbangi kelemahan masing-masing, manakala PH terus berdepan kesukaran untuk memecahkan blok sokongan Melayu yang semakin tersusun dan bersatu di bawah naratif politik identiti.
Kempen PH Hilang Punca
Strategi asal PH ialah memusatkan strategi kempen dengan mengutamakan kepada kejayaan Tok Min dan Kerajaan Negeri PH di Negeri Sembilan. Namun selepas kekalahan di Johor, moral jentera PH berada di titik rendah menyebabkan membawa kepada PRN ini mereka tenggelam punca untuk membuat lonjakan di sini.
Walaupun bahan kempen mengenai kejayaan Tok Min dan PH dilakukan tetapi naratif ini gagal menangkap imaginasi pengundi terbanyak. Mesej PH pada peringkat awal lebih bertindak menjawab serangan pihak lawan berbanding memfokuskan naratif sebenar yang perlu dibawa kepada pengundi.
Fasa kedua kempen Pakatan Harapan lebih tertumpu kepada usaha memanfaatkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang dikaitkan dengan Muhammad Sanusi Md Nor, di samping menjadikan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai tema utama serangan politik.
Kenyataan Menteri Besar Kedah itu didapati memberi sedikit kesan terhadap sentimen pengundi bukan Melayu, namun impaknya tidak cukup besar untuk meneutralkan gelombang politik identiti Melayu-Islam yang digerakkan secara tersusun oleh gabungan BN-PN.
Dalam masa yang sama, isu RCI Tabung Haji yang diharapkan menjadi antara senjata utama PH untuk memecahkan kebuntuan kempen akhirnya gagal menghasilkan limpahan sokongan yang diharapkan.
Kegagalan tersebut bukan kerana isu itu tidak mempunyai nilai politik, sebaliknya strategi komunikasi yang dibina tidak bertepatan dengan psikologi serta keutamaan pengundi Melayu pada ketika itu.
Akibatnya, isu berkenaan gagal mengubah corak persaingan pilihan raya kerana naratif kempen telah lebih awal dikuasai oleh sentimen politik identiti yang berjaya dibentuk dan dikekalkan secara konsisten oleh BN-PN.
Pengundi Cina Tidak Lagi Memberi Sokongan Automatik Kepada PH
Satu lagi perkembangan yang wajar diberikan perhatian dalam PRN Negeri Sembilan 2026 ialah perubahan corak sokongan pengundi Cina terhadap PH. Berbeza dengan beberapa pilihan raya terdahulu, sokongan daripada kelompok ini tidak lagi hadir secara automatik dan bersifat menyeluruh.
Dapatan kajian lapangan menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya kerana tahap keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kerajaan.
Sokongan yang diberikan bersifat lebih pragmatik dan defensif, berbeza dengan semangat, keterujaan dan mobilisasi luar biasa yang dapat disaksikan ketika PRU15 dan PRN 2023.
Rasa kecewa terhadap beberapa dasar nasional, khususnya yang menyentuh polisi cukai, pelarasan subsidi, pelaksanaan e-invois, penguatkuasaan aktiviti perniagaan, serta persepsi bahawa reformasi institusi berjalan terlalu perlahan, mula mempengaruhi tingkah laku pengundi Cina.
Kelompok ini merasakan merekalah yang paling kuat mengangkat kerajaan Persekutuan ke Putrajaya, namun realiti yang dihadapi jauh berbeza dengan apa yang mereka harapkan.
Keadaan ini menyebabkan PH berdepan dua cabaran serentak. Selain defisit sokongan Melayu, mereka juga gagal mengekalkan tahap mobilisasi maksimum dalam kalangan pengundi teras mereka sendiri.
Faktor Tok Min Tenggelam
Dapatan kajian ILHAM Centre menunjukkan Menteri Besar, Aminuddin Harun, masih mengekalkan tahap penerimaan peribadi yang tinggi sepanjang kempen. Approval rating beliau kekal sekitar 75 peratus, didorong oleh imej yang sederhana, mudah didekati serta rekod pentadbiran yang dilihat stabil dan bebas daripada kontroversi besar.
Namun, populariti peribadi tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada sokongan undi yang lebih luas terhadap PH.
Perpindahan beliau dari Sikamat ke Linggi menjadi antara faktor yang mengubah landskap kempen PH. Berdepan pertandingan di kawasan yang jauh lebih mencabar memaksa beliau menumpukan sebahagian besar masa, tenaga dan sumber untuk memastikan kemenangan di kerusi sendiri.
Keadaan itu secara tidak langsung mengehadkan ruang beliau memainkan peranan sebagai pemimpin negeri yang mampu menggerakkan keseluruhan jentera PH.
Akibatnya, Tok Min tidak lagi berfungsi sebagai wajah utama kempen yang mampu menjelajah secara agresif ke seluruh Negeri Sembilan seperti dalam pilihan raya terdahulu.
Kehadiran beliau lebih banyak tertumpu di kawasan sendiri berbanding mengukuhkan kempen di kerusi-kerusi marginal yang memerlukan pengaruh seorang Menteri Besar.
Pengundi Muda: Daripada Berorientasi Calon kepada Parti
Negeri Sembilan kini memasuki fasa baharu apabila hampir separuh daripada keseluruhan daftar pemilih terdiri daripada pengundi muda. Purata komposisi pengundi muda di negeri ini berada pada sekitar 48 peratus, manakala 15 DUN mempunyai komposisi melebihi 50 peratus.
Lima kawasan tertinggi ialah Bagan Pinang (60 peratus), Paroi (59 peratus), Gemas (58 peratus), Serting (58 peratus) dan Labu (55 peratus). Ini bermakna hampir setiap keputusan pilihan raya kini dipengaruhi secara langsung oleh kecenderungan generasi baharu.
Dapatan ILHAM Centre menunjukkan pengundi kali pertama telah membuat keputusan di peti undi lebih awal sebelum hari pengundian, walaupun sebahagian besar daripada mereka mengakui tidak mengenali calon yang bertanding. Penentuan sikap mereka tidak lagi bertunjangkan personaliti calon, sebaliknya semakin dipandu oleh jenama parti serta naratif besar yang berlegar di ruang media sosial.
Dalam banyak keadaan, sentimen Melayu-Islam yang dipacu secara konsisten di platform ini menjadi kerangka utama pembentukan pilihan politik mereka.
Perubahan ini menandakan peralihan ketara berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini, apabila faktor prestasi, rekod khidmat dan keterlihatan calon masih menjadi pertimbangan utama pengundi.
Kini, hubungan langsung antara pengundi dan calon semakin mengecil, digantikan oleh persepsi terhadap parti sebagai entiti politik yang lebih dominan.
Ironinya, segmen pengundi yang semakin besar ini merupakan kelompok yang paling kurang diberikan perhatian substantif sepanjang kempen. Isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti pekerjaan, kos memiliki rumah, peluang ekonomi, pendidikan, latihan kemahiran serta prospek masa depan tidak muncul sebagai agenda utama mana-mana parti secara konsisten.
Naratif kempen lebih banyak berkisar pada pertarungan politik makro berbanding penyelesaian masalah generasi muda secara spesifik.
Lebih membimbangkan, sayap pemuda parti, calon muda, serta pemimpin yang diberi tanggungjawab terhadap pembangunan belia gagal mengangkat wacana yang benar-benar mencerminkan realiti generasi ini.
Ketiadaan naratif yang segar dan meyakinkan menyebabkan ruang perbincangan politik anak muda menjadi hambar dan tidak berakar pada isu kehidupan sebenar mereka. Kekosongan ini akhirnya diisi oleh politik identiti yang berkembang tanpa cabaran bermakna.
Dalam ketiadaan wacana alternatif yang progresif dan berasaskan dasar, sebahagian besar pengundi muda membentuk orientasi politik mereka melalui lensa identiti, agama dan kaum yang lebih dominan berbanding perbahasan mengenai masa depan ekonomi atau mobiliti sosial.
Pengundi India Menjauhi PH
Jika dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini pengundi India merupakan antara penyokong tegar PH, dapatan kajian mendapati PRN ini menunjukkan pola yang berbeza.
Terdapat kecenderungan jelas segmen ini mula menjauhkan diri dan beralih kepada parti lawan. Antara faktor utama ketidakpuasan hati yang dinyatakan termasuk isu penguatkuasaan kenderaan lebih muatan, pendekatan kerajaan dalam pengurusan isu kuil, serta beberapa isu pentadbiran yang dianggap tidak sensitif terhadap keperluan komuniti India.
Dengan komposisi pengundi India di Negeri Sembilan yang agak signifikan iaitu sekitar 15 peratus, perubahan sentimen ini memberi implikasi besar kepada beberapa kawasan tumpuan.
Antara DUN yang mencatatkan peratusan pengundi India yang tinggi ialah Jeram Padang (33 peratus), Seremban Jaya (28 peratus), Sri Tanjung (27 peratus), Rantau (27 peratus), Lukut (26 peratus) dan Mambau (25 peratus). Pergeseran sokongan di kawasan-kawasan ini memberi kesan langsung kepada keseimbangan undi, khususnya di kerusi yang kompetitif.
Secara keseluruhan, perubahan sikap pengundi India ini menandakan satu isyarat penting bahawa sokongan tradisi tidak lagi bersifat automatik, sebaliknya semakin bergantung kepada persepsi terhadap kepekaan dasar dan keberkesanan penyampaian kerajaan di peringkat akar umbi.
Prediksi ILHAM
Berdasarkan keseluruhan faktor yang telah dihuraikan sebelum ini, ILHAM Centre merumuskan bahawa landskap sokongan politik di Negeri Sembilan kini mengalami penyusunan semula yang ketara.
BN dilihat berjaya memanfaatkan kelebihan struktur organisasi, penguasaan akar umbi serta sentimen Melayu luar bandar untuk mengukuhkan dominasi mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Kekuatan jentera tradisi dan keupayaan mobilisasi tempatan memberi BN kelebihan konsisten di kawasan yang sebelum ini bersifat kompetitif.
Sebaliknya, PH semakin kehilangan cengkaman di kerusi-kerusi campuran yang sebelum ini menjadi teras kekuatan mereka. Kawasan yang mengandungi komposisi etnik seimbang kini menunjukkan kecenderungan lebih terbuka dan tidak lagi berpihak secara automatik kepada PH.
Perubahan sentimen ini menandakan berakhirnya kebergantungan kepada kerusi campuran sebagai simpanan selamat undi PH, apabila pengundi di kawasan tersebut semakin responsive terhadap isu semasa, prestasi penyandang dan polisi kerajaan.
Dalam masa yang sama, PH kini semakin bergantung kepada kawasan majoriti Cina yang ditandingi oleh DAP sebagai benteng utama untuk mengekalkan jumlah kerusi.
Namun, kebergantungan yang tinggi kepada satu segmen pengundi ini menjadikan kedudukan PH lebih terhad dan kurang seimbang dari segi demografi dan geografi sokongan. Ia juga menunjukkan penyempitan asas sokongan yang sebelum ini lebih pelbagai merentas etnik dan kawasan.
Sementara itu, PN dilihat memperoleh laba berganda hasil daripada konfigurasi pertandingan yang lebih strategik serta kesan limpahan sokongan Melayu yang semakin tersusun.
Walaupun hanya bertanding beberapa kerusi, PN berjaya menyumbang kemenangan untuk melengkapkan majoriti selesa gabungan BN-PN.
Secara keseluruhan, unjuran ILHAM Centre menunjukkan BN dan PN secara gabungan berpotensi menguasai 22 kerusi DUN, sekali gus membentuk blok majoriti yang stabil, manakala PH pula dijangka memenangi minima 9 kerusi.
Namun begitu, terdapat lima kerusi yang sukar diramal iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang. Kerusi-kerusi ini memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon.
Sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri.
Metodologi Kajian
Matlamat kajian pilihan raya bukan sekadar membuat prediksi atau ramalan kalah menang parti bertanding, tetapi lebih menumpukan advokasi kepada rakyat mengenai fenomena, tingkah laku pengundi dan elemen-elemen yang mempengaruhi pola pengundian dalam sesebuah pilihan raya ke arah pembentukan pendidikan demokrasi yang lebih matang dalam konteks politik bina negara.
Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan PRN Negeri Sembilan ini serta sikap, tingkah laku dan pola kecenderungan pengundi akhir, ILHAM Centre telah melaksanakan kajian lapangan bermula 18 Julai sehingga 30 Julai 2026.
Kajian ini menggabungkan kedua-dua kaedah kuantitatif dan kualitatif, manakala data kajian dikumpul secara triangulasi melibatkan temu bual mendalam (IDI), perbincangan kumpulan berfokus (FGD) dan soal selidik secara tatap muka.
Kajian ini melibatkan 1,002 responden kuantitatif, 6 kumpulan (28 informan) FGD dan 38 informan IDI. Proses pengumpulan data ini merangkumi seluruh 36 DUN dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza. Ralat pensampelan kajian ialah 3.1 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus.
Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Negeri Sembilan 2023 turut dilakukan untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam.






