JABATAN Imigresen (JIM) Putrajaya menahan 173 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, ruang gudang serta kemudahan pengujian enjin kapal terbang di Sepang, Selangor hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi susulan aduan awam dan risikan selama seminggu itu dijalankan oleh 88 pegawai dan anggota jabatan itu.
Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin ditahan adalah hasil daripada pemeriksaan terhadap 261 individu terdiri daripada 217 warganegara asing dan 44 rakyat tempatan.
“Pemeriksaan turut melibatkan pekerja yang diambil oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang terlibat dalam projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata 173 pendatang asing berusia antara 23 hingga 40 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Zakaria berkata hasil pemeriksaan mendapati 173 warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Daripada jumlah itu, beliau berkata 147 merupakan lelaki warga Bangladesh, 17 lelaki Indonesia dan 9 lelaki Pakistan.
“Modus operandi dikesan ialah majikan menggajikan warga asing di pusat pembinaan berkenaan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai tindakan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Zakaria berkata sebanyak lima Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.





