
Oleh Dr. Anuar Ahmad
SELAMA ini pendidikan sering dilihat melalui lensa pembangunan modal insan. Perspektif itu tetap penting. Tetapi skala industri pendidikan swasta menunjukkan bahawa kita memerlukan satu lagi lensa iaitu industri pendidikan sebagai sektor ekonomi strategik.
Bayangkan dengan adanya 18,242 institusi pendidikan swasta, 186,354 pekerja industri pendidikan swasta, RM24.1 bilion hasil, RM15.1 bilion nilai tambah dan RM21 bilion aset tetap yang dilaporkan oleh DOSM pada tahun pada 2022, pendidikan swasta adalah sumber ekonomi yang besar dan mempunyai saling gantung dengan banyak sektor lain.
Misalnya, industri pendidikan swasta juga berkait dengan nilai hartanah dan pembinaan melalui pembangunan kampus. Begitu juga dengan industri teknologi melalui edtech. Turut terkait dengan perkhidmatan profesional melalui pengurusan dan konsultasi.
Malah terkait juga dengan pendidikan antarabangsa yang mempunyai dimensi ekonomi rentas sempadan melalui kemasukan pelajar antarabangsa.
Oleh itu, strategi pendidikan swasta negara tidak seharusnya hanya bertanya siapa yang mendapat pendidikan, tetapi juga siapa yang membina dan memiliki ekonomi pendidikan.
Di sinilah agenda pembangunan modal insan perlu dikaitkan dengan agenda pembangunan pemilikan modal. Pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus tidaklah dengan sendirinya terus menggugat masa depan pemilikan bumiputera dalam industri pendidikan swasta.
Namun, ia akan tetap menjadi persoalan. Misalnya, apabila pasaran dibuka, apakah strategi untuk membina syarikat pendidikan swasta milik bumiputera yang kompetitif? Jika pelaburan mahu diperluas, bagaimana modal bumiputera dapat digerakkan?
Jika industri pendidikan swasta terus berkembang, apakah sasaran pemilikan bumiputera yang mahu dicapai dalam tempoh 10 atau 20 tahun? Dan yang paling penting, siapakah yang sebenarnya akan memiliki aset dan ekuiti daripada pertumbuhan industri pendidikan swasta di Malaysia?
Soalan-soalan ini memerlukan jawapan yang rasional berasaskan data, malangnya itu sesuatu yang belum dapat dilaksanakan buat masa ini.
Pendidikan swasta di Malaysia telah berubah daripada sektor pelengkap kepada sebuah industri ekonomi yang signifikan. Bagi industri sebesar ini, isu pemilikan tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan tentang pembangunan ekonomi Bumiputera.
Pemansuhan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta, seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menuntut strategi alternatif yang lebih jelas.
KPM menyatakan rasionalnya untuk memenuhi keperluan semasa sektor dan memastikan keterbukaan penyertaan, tetapi ada keperluan untuk kerajaan memperjelaskan apakah bentuk penyelarasan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera selepas pemansuhan dilakukan.
Maka, perbahasan ini tidak seharusnya berhenti sekadar persoalan sama ada kuota dikekalkan atau dimansuhkan? Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan akan membina pemilikan bumiputera dalam industri pendidikan swasta yang berdaya saing selepas syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dimansuhkan.
Jika pasaran mahu dibuka, bina juga agenda memperkasa kapasiti bumiputera. Jika persaingan mahu diperluas, bina juga syarikat bumiputera yang mampu bersaing. Jika mahu industri pendidikan swasta berkembang, pastikan juga terdapat mekanisme untuk mengukur siapa yang memiliki industri tersebut.
Pendidikan swasta bukan sahaja sekadar membina modal insan. Dalam ekonomi moden, pendidikan swasta juga membina modal ekonomi. Kita tidak boleh lagi hanya sekadar menyediakan bumiputera sebagai sumber tenaga kerja untuk industri.
Kita juga perlu membina kemampuan bumiputera untuk memiliki industri. Di situlah letaknya cabaran sebenar pendidikan swasta Malaysia selepas pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera.
*Dr. Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM.





