KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, bulan lalu.
Mohd Shuhaily membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di berhampiran Kaunter J, Aras 5, KLIA Terminal 1, antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail memohon supaya Mohd Shuhaily dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai, lapor Buletin TV3.
Pendakwaan dikendalikan Shahrizat bersama Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily pula diwakili barisan peguam diketuai Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Mahkamah menetapkan 25 November depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.





