TOTYA 2026: KPKT peruntuk RM150 juta naik taraf tandas awam

ANUGERAH Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) mencatatkan rekod baharu apabila menerima 849 penyertaan, iaitu lonjakan sebanyak 146 peratus berbanding 345 penyertaan ketika mula diperkenalkan pada 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peningkatan ketara itu membuktikan kesedaran pelbagai pihak terhadap kepentingan kebersihan tandas awam yang kini semakin menunjukkan hasil positif.

NGA Kor Ming. GAMBAR: KPKT

“TOTYA bukan sekadar platform pengiktirafan tahunan, malah ia telah berkembang menjadi pemangkin kepada kempen kebersihan tandas awam di seluruh negara.

“Tandas awam yang bersih, menawan dan wangi bukan sekadar soal keselesaan, tetapi merupakan cerminan imej, disiplin dan tahap peradaban sesebuah negara. Kita mahu kebersihan tandas awam menjadi satu budaya nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis TOTYA 2026 di Pavilion Damansara Heights malam tadi.

Menurut beliau, kebersihan tandas awam turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awal pelancong asing selaras dengan aspirasi memperkukuh sektor pelancongan negara.

SEKITAR Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) di Pavilion Damansara Heights malam tadi. GAMBAR: KPKT

“Kerajaan berhasrat apabila rakyat dan 47 juta pelancong menggunakan tandas awam di Malaysia, mereka dapat melihat satu standard yang sama iaitu bersih, menawan, wangi, selesa dan selamat,” katanya.

Bagi memperkukuh pengurusan kemudahan berkenaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut mempergiat transformasi melalui pengenalan Tandas Pintar BMW-i serta Aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTA) untuk pemantauan secara digital.

SEKITAR Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) di Pavilion Damansara Heights malam tadi. GAMBAR: KPKT

Kor Ming berkata, ini dijangka merancakkan aktiviti ekonomi industri kelengkapan tandas dengan anggaran nilai melebihi RM100 juta.

Pada majlis yang sama, Kor Ming turut mengumumkan komitmen baharu sebanyak RM150 juta bagi tempoh lima tahun (2026 hingga 2030) untuk menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

Tambahnya, sejak 2023, KPKT telah menyalurkan RM154 juta bagi menyelenggara 1,529 tandas awam PBT, sekali gus meningkatkan jumlah tandas awam yang berjaya dibaik pulih dan dinaik taraf kepada 11,835 buah.

TOTYA 2026 mengiktiraf pemenang bagi lapan kategori utama termasuk PBT, hotel, sekolah, stesen minyak, restoran, pusat beli-belah, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta rumah ibadat di mana setiap pemenang utama membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here