SEBUAH premis makanan di Sari Alamanda, Sungai Choh, diarahkan tutup selepas pemeriksaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mendapati tahap kebersihan dapurnya tidak memuaskan, termasuk kehadiran lipas dalam jumlah banyak.
MPHS dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan, pemeriksaan pada Isnin lalu turut menemukan peralatan memasak dan penyediaan makanan yang kotor, lantai dapur bertakung air serta dipenuhi sisa makanan.
Selain itu, ruang penyimpanan didapati berhabuk dan tidak teratur, manakala perangkap sisa makanan dan minyak tidak diselenggara dengan baik.
“Pemeriksaan turut mendapati sistem pelepasan asap dan haba tidak diselenggara, selain masalah kebersihan tandas.
“Antara ketidakpatuhan lain termasuk telur ayam tidak dibasuh bersih, kotak telur disimpan di kawasan penyediaan makanan serta penggunaan tong sampah tanpa penutup,” menurut kenyataan MPHS menerusi Facebooknya.
Susulan itu, MPHS mengeluarkan lapan tawaran notis kompaun, masing-masing enam oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) serta dua oleh Jabatan Penguatkuasaan MPHS.
MPHS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Premis berkuat kuasa 19 Oktober lalu.
Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melaksanakan kerja pembersihan dan penambahbaikan bagi memastikan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dipatuhi.





