INSIDEN tembakan yang berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghadiri satu jamuan makan malam di Hilton Washington mengingatkan semula kepada peristiwa percubaan pembunuhan terhadap Presiden Ronald Reagan kira-kira 45 tahun lalu di lokasi sama.
Pada 29 Mac 1981, seorang lelaki bersenjata, John Hinckley Jr., melepaskan enam das tembakan ke arah Reagan di luar hotel tersebut. Salah satu peluru dilaporkan memantul daripada limosin presiden sebelum menembusi paru-paru Reagan, menyebabkan beliau kehilangan banyak darah.
Reagan bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan di George Washington University Hospital dan dibenarkan keluar selepas 12 hari menerima rawatan.
Dalam insiden terbaharu, tembakan dilepaskan ketika majlis makan malam White House Correspondents’ Association sedang berlangsung pada Sabtu malam . Keadaan panik tercetus di dalam dewan sebelum pasukan keselamatan bertindak pantas mengawal situasi dan mengiringi Trump keluar dari lokasi.
Pihak berkuasa mengesahkan suspek berjaya ditahan selepas ditembak dan dilumpuhkan oleh anggota keselamatan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
Menurut Ketua Polis Washington, Jeff Carroll, suspek dipercayai bertindak bersendirian dan bersenjata dengan senapang patah, pistol serta beberapa bilah pisau. Suspek dilaporkan cuba menghampiri pos pemeriksaan keselamatan sebelum dipintas oleh anggota Perkhidmatan Rahsia AS.
Siasatan awal turut mendapati suspek merupakan tetamu hotel dan setakat ini dianggap sebagai satu-satunya individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, pendakwa raya AS, Jeanine Pirro, memaklumkan bahawa suspek akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin. Media tempatan melaporkan suspek dikenali sebagai Cole Tomas Allen, 31 tahun, berasal dari Torrance, California, dan bekerja sebagai seorang guru.


