Lelaki hina anggota polis sedang bertugas disiasat

SEORANG lelaki yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) kini berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka kertas siasatan berhubung satu video yang tular.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan kira-kira jam 10 pagi ini yang dibuat seorang pegawai kanan polis berhubung rakaman video dimuat naik di media sosial.

Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang individu lelaki mengeluarkan kenyataan menghina anggota polis ketika bertugas selain mendakwa berjaya melepasi beberapa SJR dengan cara memperdayakan anggota bertugas.

“Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusoff, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Beliau menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan tegas tanpa sebarang toleransi juga akan diambil terhadap perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Sebelum itu tular dalam media sosial video berdurasi dua minit 44 saat memaparkan seorang lelaki sedang menyampaikan ucapan dalam satu program konvoi bermotosikal yang diadakan di sini pada Sabtu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img