POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kes buli membabitkan anak kepada pelakon, Ako Mustapha di sebuah sekolah di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan.
“Saya sahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ada menerima laporan polis seperti yang dinyatakan. Setakat ini, tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, Ako mendakwa anak lelakinya, Mikael Iskandar, 10, menjadi mangsa buli membabitkan lima pelajar di sekolahnya.
Menurutnya, kejadian itu disedari selepas anaknya pulang dari sekolah dengan kesan lebam pada badan.
Mangsa memaklumkan dia dipukul oleh dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas, dengan kesan kecederaan termasuk tapak kasut dan tumbukan pada bahagian badan.
Ako berkata, gambar dan video kecederaan telah dihantar kepada guru kelas, selain anaknya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut selepas mendapatkan rawatan awal di klinik kerajaan.
Beliau turut memaklumkan akan membuat laporan polis dan berharap pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit.


