VFive Group salur sumbangan kepada PERYATIM, perkasa pendidikan anak yatim Sarawak

VFIVE Group Sdn Bhd menyalurkan sumbangan kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) bagi membantu memperkukuh kebajikan serta menyediakan peluang pendidikan lebih baik kepada anak-anak yatim di negeri itu.

Sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Jamuan Amal Makan Malam anjuran AD Interact International Sdn Bhd bersama PERYATIM di Hotel Sheraton di Kuching pada Jumaat lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk berkongsi kejayaan perniagaan dengan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan.

Katanya, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan keuntungan dan pencapaian korporat semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat.

“Di VFive Group, kami percaya bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan dan pencapaian korporat semata-mata, tetapi juga sejauh mana kejayaan tersebut dapat dikongsi untuk membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat menyokong usaha PERYATIM dalam menyediakan peluang pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik buat anak-anak yatim di bawah jagaannya,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain wakil sektor korporat, penaja dan penyumbang.

Menurut Mohd Syafiq, sokongan terhadap PERYATIM turut berasaskan prinsip keberkatan dan amalan berkongsi rezeki yang menjadi nilai teras VFive Group sejak penubuhannya.

Beliau berkata, kerjasama sektor korporat dengan organisasi kebajikan penting bagi memperluas bantuan, selain memastikan golongan kurang bernasib baik berpeluang membangunkan potensi diri melalui pendidikan.

Penganjuran majlis itu bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan dan pendidikan untuk anak-anak di bawah jagaan PERYATIM. Majlis turut diserikan dengan persembahan khas penyanyi Amir Masdi.

Selain sumbangan berkenaan, VFive Group menerusi Yayasan VFive turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) merangkumi bantuan kebajikan, sokongan pendidikan dan pembangunan komuniti.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here