IRAN sekali lagi mengumumkan penutupan Selat Hormuz hari ini susulan serangan Israel di Lubnan, yang disifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Tentera Israel bertempur dengan pejuang Hizbullah, manakala pesawat perangnya melancarkan serangan maut di selatan Lubnan semalam, beberapa jam selepas AS mengumumkan gencatan senjata baharu antara kedua-dua pihak.
Pertelingkahan berterusan itu menjejaskan perjanjian yang dimeterai minggu ini antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian bagi menghentikan perang serantau di semua medan termasuk Lubnan yang menjadi tuntutan utama Tehran.
Dengan merujuk kepada `pelanggaran perjanjian oleh AS’ dan `pencabulan berterusan serta tanpa henti gencatan senjata di selatan Lubnan oleh rejim Zionis’, pusat pemerintahan tentera Iran mengumumkan bahawa Selat Hormuz akan ditutup kepada semua trafik kapal.
Selat Hormuz yang menjadi laluan penting penghantaran minyak dan gas kini sudah disekat Iran sepanjang tempoh perang, sekali gus mencetuskan kejutan dalam pasaran tenaga global.
Iran sebelum ini bersetuju membuka semula laluan itu di bawah perjanjian awal dengan AS dan trafik perkapalan mula pulih dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Rundingan susulan mengenai perjanjian AS-Iran yang dijadual berlangsung di Switzerland semalam ditangguhkan tanpa tempoh ditetapkan selepas Israel melancarkan siri serangan maut di Lubnan susulan kematian empat tenteranya dalam pertempuran.
Petang semalam, seorang pegawai AS mengumumkan gencatan senjata baharu antara Israel dan Hizbullah yang diusahakan oleh pengantara AS dan Qatar, dengan duta Israel ke Washington menyatakan negara itu akan mematuhi gencatan senjata jika Hizbullah berbuat demikian.
Bagaimanapun hari ini, seorang pegawai tentera Israel berkata, pihaknya melancarkan serangan baharu terhadap kumpulan yang disokong Iran itu selepas mendakwa Hizbullah melepaskan lebih 50 peluru ke arah tentera Israel di selatan Lubnan sepanjang malam.
Hizbullah pula mendakwa Israel melakukan cubaan menyusup ke kawasan Bukit Ali Taher, yang menghadap bandar Nabatieh, di sebalik perlindungan gencatan senjata, sambil menambah pejuangnya bertindak balas menggunakan senjata yang sesuai.
Media kerajaan Lubnan melaporkan serangan udara Israel ke kira-kira 20 lokasi, manakala agensi pertahanan awam negara itu memaklumkan 16 orang terbunuh di kawasan Nabatieh.
Jurugambar AFP di lokasi menyaksikan kepulan asap tebal menyelubungi bandar itu selepas serangan berkenaan.
Kementerian Kesihatan Lubnan turut melaporkan, tujuh lagi terbunuh dan 13 cedera dalam serangan ke atas sebuah kampung berhampiran bandar Sidon.
Seorang lagi wartawan AFP di sebelah sempadan Israel melihat asap tebal berkepul di belakang Kubu Beaufort, kedudukan strategik berhampiran Nabatieh yang ditawan Israel, bulan lalu.






