MENTERI Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dilaporkan tidak sihat dan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di Seremban.
Perkara itu disahkan anak beliau Naim Ismail, ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Betul, (Ismail) tak sihat,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar beliau Mohd Fasha Musthafa memaklumkan keadaan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, dilaporkan semakin pulih.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai serta meminta semua pihak mendoakan supaya Ismail segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik.
Hari ini Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungn itu menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkaitan dengan isu jawatan Menteri Besar melibatkan Ismail.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau juga tidak akan sekali-kali melanggar peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau berkata BN serta UMNO juga tidak akan mencampuri urusan membabitkan adat di negeri berkenaan, termasuk hal berkaitan dengan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan untuk diselesaikan.
“Pada hemat saya, kepentingan rakyat harus diberi keutamaan dan jika terus berlaku permasalahan adat Dewan Keadilan dan Undang, itu bukan sesuatu yang harus dicampuri oleh Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.





