Isu Litar Lumba Sungai Petani : Kerajaan Negeri tak boleh lepas tanggungjawab – pensyarah

 ⁠WALAUPUN  projek dilaksanakan oleh pihak swasta, kerajaan negeri tidak boleh melepaskan tanggungjawab sepenuhnya, khususnya dari segi akauntabiliti politik, ketelusan dan perlindungan kepentingan rakyat.

Ketika menegaskan perkara itu,  Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, apabila Menteri Besar mengumumkan sesuatu projek, pengumuman itu membawa reputasi dan kewibawaan kerajadan negeri sekali gus  menggalas harapan rakyat.

‘’⁠Oleh itu, kerajaan negeri perlu memastikan usaha wajar (due diligence) dilakukan terhadap kemampuan pelabur, sumber pembiayaan dan daya maju projek sebelum pengumuman dibuat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang kembali menjadi perhatian apabila seorang pengarah syarikat wanita berusia 30-an ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah RM40 juta berkaitan projek litar lumba antarabangsa di Sungai Petani yang terbengkalai.

Ketika mengulas isu tersebut, kelmarin Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor mengingatkan pihak tertentu tidak mengaitkan dirinya atau kerajaan negeri dengan isu pecah amanah RM40 juta membabitkan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.

Sanusi berkata, isu berkenaan melibatkan  urusan antara dua syarikat dan beliau tidak mengetahui pihak ditahan atau individu yang didakwa berkaitan kehilangan wang berkenaan.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneliti kedudukan projek itu dan kemungkinan untuk meneruskannya sama ada sebagai projek swasta atau kerajaan bergantung kepada kos serta kemampuan kewangan.

Mengulas lanjut Dr.Mohd Azhar berkata, jika projek gagal, kerajaan wajar memberikan penjelasan terbuka serta menilai kelemahan dalam proses perancangan dan pemantauan.

‘’Tanggungjawab melaksanakan projek mungkin terletak pada syarikat swasta, tetapi tanggungjawab menjelaskan keputusan kerajaan kepada rakyat tetap tidak boleh dielakkan,’’ katanya.

Mengenai akauntabiliti dan impak projek pembangunan di Kedah yang tidak dilaksanakan, beliau berkata, projek mega yang diumumkan tetapi tidak menjadi kenyataan perlu dinilai berdasarkan fakta, status perjanjian dan sebab sebenar kegagalannya.

‘’Dalam situasi ini, rakyat berhak mendapat maklumat yg sahih antara projek yang masih dirancang, ditangguhkan dan benar-benar dibatalkan. ⁠ ⁠Bagaimanapun, jika keadaan ini berulang, ia boleh menimbulkan persoalan tentang ketelitian perancangan, penilaian pelabur dan sekali gus akauntabiliti kerajaan negeri,’’ katanya.

⁠Lebih penting, kata Dr Mohd Azhar, kegagalan pelaksanaan boleh menyebabkan rakyat kehilangan peluang pekerjaan, perniagaan dan manfaat pembangunan yang diharapkan, selain menjejaskan keyakinan terhadap pengumuman kerajaan pada masa hadapan.

‘’Kerajaan negeri sewajarnya melaporkan status projek secara telus, termasuk nilai pelaburan yang benar-benar direalisasikan, kemajuan pelaksanaan dan sebab kelewatan atau pembatalan.

‘’⁠Kejayaan kerajaan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah atau nilai projek yang diumumkan, tetapi berdasarkan projek yang benar-benar dilaksanakan dan manfaatnya kepada rakyat,’’ katanya.

Beliau menegaskan, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur, telus dan bertanggungjawab.

‘’⁠Sudah tentu isu  kegagalan melaksanakan projek pembangunan akan menjejaskan reputasi kepimpinan dan kerajaan negeri dan tentunya akan menyebabkan defisit keyakinan dan sokongan rakyat, katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here