PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang kemungkinan untuk menghidupkan semula gabungan Muafakat Nasional (MN) antara parti dan Pas.
Katanya, UMNO tiada niat untuk membangkitkan semula MN dalam apa jua bentuk.
“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula Mufakat National, sama ada 1.0 ataupun 2.0.
“Itu telah muktamad dan kita telah tutup buku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri InvestMalaysia hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang sebelum ini mengumumkan Barisan Nasional (BN) bertanding solo di Johor walaupun parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat berkata, UMNO sudah dapat menjangkakan bahawa kerjasama yang terjalin antara Pas dan Bersatu akhir akan terlerai.
Katanya, hubungan kerjasama antara Pas dan Bersatu itu tidak dibina atas asas keikhlasan tetapi hanya bergantung pada perjanjian.
“Kami sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Ini adalah satu telahan dari sudut pandang politik di mana sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur-unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu harus menjadi pengajaran bahawa setiap kolaborasi politik perlu diasaskan kepada kepercayaan dan komitmen yang tulen, selain bebas daripada unsur pengkhianatan.
“Dan ini ini adalah satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa,” katanya.






