BEBERAPA peguam dan pakar undang-undang menyifatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak wajar mempersoalkan susunan kata dalam perintah pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli, berkata timbul kekeliruan ketara dan perbezaan tafsiran dalam kalangan orang ramai berhubung penggunaan perkataan ‘pelepasan’ (discharge) dalam perintah mahkamah itu.
Sehubungan itu tegas beliau, Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar tidak mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, sebaliknya hanya memohon penjelasan mengenai tafsiran yang betul bagi perintah berkenaan.
“Kita mesti membenarkan peguam negara mendapatkan penjelasan diperlukan. Sekiranya segalanya berjalan mengikut saluran betul, Najib akan menjalani baki hukuman kes SRC beliau di kediamannya di Langgak Duta.
“Saya tidak fikir ini satu masalah yang tidak boleh diatasi. Pada pandangan saya, peguam negara bertindak mengikut tradisi terbaik jabatannya. Saya beranggapan tiada sebarang kesalahan untuk peguam negara membangkitkan isu ini. Malah, ia langkah terpuji. Kita sepatutnya bersyukur kerana mempunyai seorang peguam negara yang berhati-hati,’’ katanya lapor FMT.
Peguam A Srimurugan, berkata perkataan ‘pelepasan’ dalam perintah mahkamah itu bersifat kabur, manakala ketiadaan peruntukan khusus di bawah Kanun Prosedur Jenayah memburukkan lagi keadaan.
“Mengapa kita tidak boleh tafsirkan begitu sahaja perkataan pelepasan itu? Ini kerana tiada peruntukan dalam kanun tersebut untuk menangani perkara ini. Apabila Yang di-Pertuan Agong memerintahkan seseorang menjalani hukuman bawah tahanan rumah, adakah itu bermakna orang tersebut dilepaskan?
“Sebab itulah Peguam Negara kini menunjukkan timbul masalah. Apa yang dilakukan peguam negara adalah tepat. Beliau berkata disebabkan kekaburan berkenaan, AGC perlu merujuk kembali kepada mahkamah, sama ada melalui semakan semula atau memohon penjelasan mengenai maksud perintah tersebut,” katanya.
Tegasnya, isu itu bukan berpunca daripada pihak istana mahupun peguam negara, sebaliknya daripada cara Peguam Najib mendapatkan perintah berkenaan daripada Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi.
“Situasi Najib ini merupakan sesuatu belum pernah berlaku. Peguam Najib sepatutnya memohon jenis perintah yang berbeza, tetapi beliau tidak berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Undang-undang Majlis Profesor Negara, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata Peguam negara tidak mahu perkataan ‘pelepasan’ diinterpretasikan sebagai membawa maksud Najib telah bebas sepenuhnya daripada sabitan kes SRC.
Beliau berkata, penjelasan adalah perlu bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan awam, terutama mengenai hakikat Najib masih perlu menjalani baki hukumannya bawah tahanan rumah sehingga Ogos 2028.
“Timbul perdebatan dalam ruang awam yang menggambarkan seolah-olah Najib telah dibebaskan daripada sabitan kes SRC. Peguam negara tidak mahu perdebatan ini dieksploitasi untuk tujuan politik. Jadi, beliau mahu susunan kata tersebut diperjelas,” katanya.
Nik Ahmad Kamal turut berkata, peguam negara wajar membangkitkan isu berkenaan selaras peranannya sebagai penasihat undang-undang kerajaan.
Jumaat lalu, UMNO umum menjelaskan denda RM50 juta dikenakan ke atas Najib sebagai sebahagian syarat membenarkannya menjalani baki hukuman penjara kes SRC bawah tahanan rumah.
AGC kemudiannya menyeru pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sehingga semakan semula ke atas ‘persoalan undang-undang yang kompleks’ berhubung perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
AGC menyebut perintah pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada jabatan penjara yang menyatakan: “Dan bahawasanya denda tersebut yang berjumlah RM50 juta kini telah dibayar ke mahkamah ini: Ini adalah untuk memberi kuasa kepada anda untuk melepaskan Najib Razak […] serta-merta.”
Perintah mahkamah sama turut menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda atau membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan rumah, atau sama ada perintah tersebut membawa kesan hukuman dalam kes SRC International telah selesai,” kata AGC.
AGC berkata, implikasi undang-undang daripada perintah tersebut sepatutnya dirujuk kepada mahkamah dengan kadar segera bagi mendapatkan keputusan dan arahan jelas.





