SEPASANG suami isteri warga emas maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 242 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Seremban, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming, mangsa lelaki berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 5.20 petang itu.
Manakala isteri mangsa berusia 70 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, kira-kira jam 8 malam tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga yang dinaiki kedua-dua mangsa dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun bersama seorang lagi penumpang wanita berusia 21 tahun. Mereka dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur, menuju ke Port Dickson.
“Setiba di lokasi kejadian, sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berkonvoi dipercayai memotong dan memasuki laluan di hadapan Proton Saga itu secara mengejut sebelum kereta terlibat hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi penumpang wanita cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Rembau.





