Jangan heret institusi Diraja sebagai bahan kempen PRN – Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak terutama pemimpin parti supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai modal politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, semua pihak harus menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi antara tonggak utama Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengheret Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat sebagai pembesar negeri ke dalam polemik politik.

Katanya, segala keputusan yang membabitkan institusi Diraja perlu berpandukan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Saya mahu jelaskan supaya perkara ini tidak dijadikan mainan politik. Kita mesti memuliakan sistem Diraja kerana ia adalah salah satu tonggak Perlembagaan negara.

“Kita tak mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin diheret dalam pilihan raya ini… ia tidak relevan. Sistem ini perlu dipertahankan dan jangan sesekali melanggar prinsip Perlembagaan ini.

“Apa juga keputusan mesti berlandaskan hukum Perlembagaan dan undang-undang. Selagi sistem itu tidak berubah, kita wajib menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Fahmi Fadhil.

Anwar berkata, beliau tidak bersetuju sama sekali sekiranya institusi Diraja dijadikan bahan polemik politik kerana perkara itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan.

“Jangan gunakan isu ini dalam pilihan raya. Bukan soal takut atau bimbang, tetapi tugas kita ialah mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan negara.

“Kalau kita mula jadikan perkara ini sebagai isu politik, ia tidak akan ada penghujungnya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman atau menuduh pihak lain demi meraih sokongan politik.

Beliau berkata, kerajaan yang dipimpinnya tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan termasuk mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Saya mohon kita bertempur dalam politik secara sihat. Tidak perlu memfitnah atau menghina orang lain kerana kaum dan agama.

“Malaysia ialah negara berbilang kaum dan kita mesti terus mempertahankan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti bagi membawa negeri itu ke arah kemakmuran dan kecemerlangan.

Beliau yakin dan percaya Aminuddin boleh memimpin Negeri Sembilan ke arah yang lebih baik dan berjaya kerana selari dengan kerajaan Persekutuan.

“Saya yakin Tok Min boleh pimpin Negeri Sembilan dengan lebih baik kerana selari dengan Persekutuan.

“Negeri ini tidak harus ketinggalan dalam segala aspek sebaliknya berkembang dan maju seperti negeri lain yang akhirnya dinikmati rakyat keseluruhannya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img