Isu penamatan 10 Exco Negeri Sembilan dijawab ketika Penggulungan Perbahasan – Azalina

KERAJAAN Persekutuan akan memberikan penjelasan dan maklum balas berhubung isu penamatan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa perbahasan mengenai perkara itu masih belum selesai di Dewan Rakyat dan pelbagai pandangan sedang dikemukakan oleh para Ahli Parlimen.

“Itu perbahasan. Perbahasan tidak habis lagi, banyak orang cakap macam-macam.

“Nanti apabila penggulungan, mana-mana kementerian yang relevan akan menggulung perbahasan,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Pantai Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.

Isu ini mula mendapat perhatian di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan supaya menyatakan asas peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai bagi menamatkan perkhidmatan kesemua 10 Exco Negeri Sembilan pada September lalu.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan, tindakan berkenaan didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) serta menyentuh Perkara 71(1) dan Perkara 71(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedaulatan perlembagaan sesebuah negeri.

Menurut beliau, penamatan itu didakwa tidak mematuhi Perkara 38(5) UUTKNS yang menetapkan bahawa pembatalan pelantikan Ahli Exco hanya boleh dibuat oleh Yang Dipertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.

Isu berkenaan mencetuskan polemik apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada 21 September lalu menegaskan bahawa tindakan menamatkan perkhidmatan barisan Exco berkenaan tanpa nasihat atau permintaan daripada beliau merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak berperlembagaan.

Ismail turut mendedahkan bahawa pihak beliau langsung tidak pernah dirujuk atau diminta memberi sebarang nasihat mengenai penamatan jawatan itu mengikut peruntukan UUTKNS yang sah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here