Pendaftaran PN dibatal: Muhyiddin luah rasa dukacita, ingatkan pemimpin supaya berlaku adil

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa dukacita berikutan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), iaitu gabungan politik yang diasaskannya sejak enam tahun lalu.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan tersebut harus dijadikan iktibar dan peringatan kepada barisan kepimpinan yang menerajui sesebuah gabungan agar sentiasa berlaku adil kepada semua parti komponen.

“Jangan salah guna kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan semata-mata untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RoS hari ini membatalkan pendaftaran parti PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak mencukupi untuk menangkis alasan pembatalan yang dibangkitkan sebelum ini.

Keputusan berkenaan dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas RoS meneliti dokumen serta representasi yang diserahkan oleh PN pada 12 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau akan segera mengadakan perbincangan bersama pimpinan tertinggi Bersatu dalam mesyuarat biro politik khas yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, gabungan akan mengambil langkah mencabar keputusan pembatalan pendaftaran tersebut di samping memohon agar pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menanti keputusan muktamad daripada pihak mahkamah.

Untuk rekod, siasatan yang dijalankan oleh RoS terhadap PN bermula susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu, di mana parti itu mendakwa mereka telah dinafikan hak untuk hadir, memberi pandangan serta mengundi sewaktu mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada 16 Julai lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here