
VETERAN DAP, Teng Chang Khim mempertikai cadangan pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX)
Pastinya cadangan tersebut telah mengambil kira kehadiran dan kepadatan pengunjung beragama Islam untuk solat lima waktu dan juga solat Jumaat.
Entah apalah agaknya sehingga pemikiran negatif menghantui Teng dan penyokongnnya yang risau akan kewujudan masjid itu nanti akan merencatkan usaha menjadikan Kuala Lumpur hab hiburan bertaraf antarabangsa seperti yang telah diumum oleh Menteri Wilayah Hannah Yeoh.
Peradaban dan adab yang tersulam dalam agama yang membina masyarakat madani, patuh peraturan, bertatasusila, saling menghormati dan bukannya budaya hedonisme atau hiburan yang terkinja-kinja seperti haiwan di Zoo Negara.
Jelas akal cetek, tidak peka dengan Perlembagaan Persekutuan yang mencatat Islam sebagai agama Persekutuan walaupun agama lain dibenar diamalkan dengan aman, bebas dan cuma tidak boleh disebar kepada penganut Islam.
Ataukah Teng pura-pura tidak tahu dan akan mohon maaf kerana tersilap dan ada pula nanti yang akan membelanya dengan mengatakan itu adalah pendapat peribadi Teng seperti yang kerap berlaku semenjak belakangan ini dan pimpinan yang sealiran mudah membuat penafian tiadanya sebarang penglibatan?.
Jelas dibezakan taraf dan status agama Islam daripada agama lain yang walaupun bebas diamalkan tetapi dengan bersyarat. Adalah dianggap biadab bagi orang bukan Islam untuk mencampuri hal berkaitan agama Islam.
Mereka cuba menentukan misalnya di mana masjid boleh bina dan di mana tidak boleh dibina seolah-olah DBKL atau perancang bandar dan ahli majlis agama Islam tidak lagi mampu berfikir dan merancang apa dan di mana yang baik untuk pembinaan masjid dan sebagainya.
Tidak mungkin wujud keperluan untuk membina masjid di tempat yang tidak munasabah, makmum yang sedikit dan jika dibina masjid itu nanti adalah satu pembaziran yang juga dilarang keras dalam Islam.
Nampaknya satu demi satu isu dan hal berkaitan agama Islam terlihat cuba dicuit, dirungkai oleh golongan atau pihak tertentu yang boleh ditafsir sebagai usaha untuk mencabar sesuatu.
Selama berdekad lepas merdeka tidak kelihatan isu seperti ini dicuit tapi trend terakhir seolah-olah memberi gambaran yang negatif seolah-olah untuk menguji satu persatu atau nengocak keharmonian selama ini.
Hal ini boleh menimbulkan persoalan adakah itu satu kebetulan atau satu perancangan halus menguji keimanan dan kesabaran pihak yang diusik?. Kita bimbang jika trend seperti ini berlarutan dan tidak diambil tindakan tegas, keharmonian selama ini boleh terjejas.
Kepada pihak berkenaan ingatlah bahawa kewujudan sejarah negara ini yang beribu tahun sebelum merdeka wajib dihayati dan dihormati termasuk mentaati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Keberadaan kita di negara ini ada sejarahnya yang perlu dihayati dan diinsafi.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga semasa hari keputeraan baginda bertitah baru-baru ini bahawa ketuanan asal bumi ini wajib dihormati. Janganlah ada lagi pihak tertentu yang berasa tidak puas hati dan cuba mempertikaikan titah mana-mana raja di negeri ini dan lainnya kerana pihak yang dipertikaikan juga jika mereka mahu, mempunyai banyak hal yang boleh dipertikaikan.
Sematkan erti bersyukur kerana dapat mendiami bumi bertuah ini dengan menikmati segala hasil mahsulnya yang tidak mungkin dapat dikecapi jika mendiami bumi lain.
Insaflah bahawa sekaya manapun, sama ada orang Islam atau bukan Islam, pemimpin besar, kecil, rakyat marhaen, tidak ada sesiapa pun yang dapat membawa segala kemewahan dan kekayaan di dunia ini ke alam kubur. Tinggallah semuanya nanti apabila tubuh di dalam keranda dan diusung ke perkuburan
*Penulis adalah Pengerusi Biri Insan Rabbani dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu.






