Bekas TNC UM, tokoh persuratan Melayu, Prof Emeritus Abu Bakar meninggal dunia

BEKAS Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh persuratan Melayu, Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid meninggal dunia malam tadi pada usia 88 tahun.

Berita pemergian Allahyarham yang juga anak jati Kampung Bagan, Batu Pahat, Johor itu dikongsi anak lelakinya, Ahmad Muzaffar Abu Bakar, 45.

“Arwah meninggal dunia di rumah di Petaling Jaya sekitar jam 12 tengah malam tadi kerana sakit tua. Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) untuk disolatkan kemudian dijangka dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Ahmad Muzaffar memberitahu, Allahyarham meninggalkan empat anak dan beliau satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam dunia akademik sebagai pensyarah di UM dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UM dari 1987 hingga 1989.

Antara sumbangan besarnya ketika berkhidmat di UM adalah pengasas penubuhan rancangan penulisan kreatif dan deskriptif pada 1976 yang kemudian dinaik taraf kepada Jabatan Pengajian Media.

Jawatan terakhir beliau di UM adalah karyawan tamu dan Profesor Emeritus di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menyifatkan pemergian Allahyarham Abu Bakar sebagai satu kehilangan besar kepada dunia akademik, kepengarangan dan sastera Melayu.

“Prof Abu Bakar ialah guru saya di UM, malah banyak sumbangan beliau kepada dunia sastera dan pernah menjadi pelopor awal PENA sehingga diangkat sebagai Ketua Satu PENA dari 1967 hingga 1969.

“Beliau juga antara guru kesayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah beliau sangat menyokong penubuhan Kursi Prof Emeritus Abu Bakar Hamid di UM yang diusahakan Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM, Prof Dr Md Azalan Shah Md Syed,” katanya.

Allahyarham juga dikenali antara tokoh yang mengetengahkan dan mempromosikan hasil karya tempatan ke persada antarabangsa melalui program penterjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Jepun dan sebaliknya.

Malah, beliau antara tokoh penting penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pernah dilantik menjadi Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Penubuhan UKM sekitar 1968 hingga 1970.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img