JDT terus unggul, 109 kemenangan liga catat sejarah baharu

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-0 pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus memastikan Piala Sultan Ahmad Shah terus menjadi milik Harimau Selatan.

Kejayaan itu turut mengukuhkan dominasi JDT dalam saingan domestik apabila skuad kendalian Xisco Munoz merekodkan kemenangan liga ke-109 tanpa kekalahan sejak 2021, sekali gus mengatasi pencapaian ASEC Mimosas dari Ivory Coast yang sebelum ini memegang rekod berkenaan bagi tempoh 1989 hingga 1994.

Kemenangan tersebut juga menjadi suntikan penting buat Munoz dalam mengharungi musim kedua bersama JDT selepas percaturan taktikalnya membantu pasukan mengawal permainan dan mengekang ancaman KCFC yang dikendalikan Aidil Sharin Sahak.

JDT hampir membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Bergson da Silva, namun percubaan penyerang berkenaan berjaya dinafikan penjaga gol KCFC, Haziq Nadzli.

Bagaimanapun, tekanan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil dua minit kemudian. Bergson melakukan gerakan satu-dua sebelum Marcos Guilherme menerima bola di dalam kotak penalti dan melepaskan sepakan lencong ke penjuru kiri gawang untuk meletakkan JDT di depan.

KCFC cuba memberikan tindak balas pada awal babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52. Petrus Shitembi membuka ruang untuk Ramadhan Saifullah melakukan tandukan, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tangkas menepis bola keluar.

JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Oscar Arribas menggandakan kelebihan pada minit ke-55. Menerima umpanan Dejan Petrovic, Arribas yang tidak dikawal melepaskan rembatan deras yang sempat ditampan Haziq, namun bola tetap melepasi garisan gol.

The Cats sekali lagi cuba merapatkan jurang pada minit ke-61 menerusi Nur Shamie Iszuan Saari yang melepaskan rembatan kencang selepas menerima hantaran jauh Ramadhan. Ahmad Syihan sekali lagi berjaya menyelamatkan keadaan sebelum Kevin Medina mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

JDT kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-86. Arif Aiman Hanapi bijak mencari ruang sebelum melorongkan bola di celah dua pertahanan KCFC, membolehkan pemain gantian Shahab Zahedi melakukan penyudah kemas untuk menewaskan Haziq.

Kejayaan 3-0 itu menyaksikan JDT mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kesembilan berturut-turut dan menjulang trofi tersebut buat kali ke-11 secara keseluruhan.

Pada masa sama, pencapaian 109 kemenangan liga tanpa kalah sejak 2021 mengangkat JDT ke pentas sejarah bola sepak dunia apabila rekod berkenaan mengatasi pencapaian ASEC Mimosas.

Pertemuan itu turut mengulangi perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan JDT menewaskan KCFC 2-0 untuk muncul juara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here