JENAZAH empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang, Johor semalam, selamat dikebumikan di Dungun pagi ini.
Allahyarham Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33; dan ibu Nor Azlina, Semek Mat Soh, 73; serta anak saudara Mohd Aiman, Nur Airish Syifa Sidek,10, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun kira-kira jam 9.25 pagi.
Terdahulu, jenazah empat sekeluarga itu dibawa ke Masjid Sultan Mahmud Bandar Al-Muktafi Billah Shah untuk disolatkan pada jam 8.35 pagi selepas proses bedah siasat di Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom di Kluang, Johor selesai malam tadi.
Lebih 200 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan hadir pada pengebumian itu yang selesai pada jam 10.45 pagi.
Dalam kejadian pada jam 1.16 petang semalam, Mohd Aiman yang tinggal dan bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Ulu Sedili, Johor, dipercayai bersama ahli keluarganya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri keluarga terdekat di Telok Mas, Melaka.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Toyota Vios yang dinaiki keluarga tersebut, Perodua Alza, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz.
Sementara itu, pemandu BMW 530e itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Dalam pada itu ibu kepada Nur Airish Syifa, Nurul Ain Mohd Rashid, 38, terkilan kerana hasrat anak kedua daripada dua beradik itu untuk melihat adiknya yang bakal dilahirkan pada November depan tidak kesampaian.
Suri rumah itu berkata, anak perempuannya itu gembira apabila mengetahui dia mengandung kerana telah sekian lama Allahyarham ingin mempunyai seorang adik.
Nurul Ain berkata, anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Emas II di Bandar Al Muktafi Billah Shah juga sering meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat serta bermain dengan bayi yang bakal dilahirkan itu.
“Nur Airish Syifa teruja untuk menyambut kelahiran adiknya dan tidak sabar pergi menemani saya membeli pakaian bayi untuk adiknya yang bakal lahir nanti,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah.
Nur Airish Syifa mengikut bapa saudaranya, Mohd Aiman pulang ke Felda Ulu Sedili di Johor sempena cuti sekolah sejak Khamis lalu dan dijadual pulang pada Sabtu ini.


