PENUNTUT universiti berusia 19 tahun yang dikaitkan dengan nahas lima kenderaan sehingga meragut empat nyawa sekeluarga minggu lalu direman dua hari lagi bagi membantu siasatan polis.
Perintah sambungan reman itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sambungan reman kali keempat itu dipohon bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang.
Menurutnya, reman pertama terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum dibenarkan disambung selama dua hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Selasa lalu.
Tempoh reman itu kemudiannya disambung sehari lagi di Mahkamah Majistret Kluang pada keesokan harinya.
Sebaik tempoh reman berakhir Khamis lalu, suspek ditahan semula dan direman selama empat hari di Mahkamah Sesyen Kluang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, penahanan semula suspek dilakukan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan arahan lanjut.
Bahrin berkata, siasatan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 masih diteruskan berdasarkan rakaman video tular yang menunjukkan kenderaan dipandu suspek bergerak laju dan secara melulu sebelum kemalangan berlaku.
Sebelum ini, suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz A250 dipercayai bersama abangnya yang memandu BMW 530e ketika kemalangan membabitkan lima kenderaan itu berlaku.
Insiden berkenaan mengorbankan empat sekeluarga dan mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video memaparkan aksi pemanduan berbahaya kedua-dua kenderaan itu tular di media sosial.
Abang suspek yang berusia 22 tahun turut meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


