Jerebu rentas sempadan dijangka beransur berkurangan dalam dua minggu – Timbalan Menteri

JEREBU rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lepas dijangka beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua minggu susulan perubahan corak pergerakan angin.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun sejak 9 Okt, sebelum monsun timur laut dijangka bermula pada penghujung Oktober.

“Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa perubahan keadaan cuaca semata-mata bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu jerebu. Mungkin akan berulang lagi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh

“Jadi, usaha pencegahan kebakaran ini mesti berlaku di punca. Penguatkuasaan undang-undang mesti domestik serta kerjasama serantau mesti diperkukuhkan untuk kita akhirnya dapat mengurangkan risiko kejadian yang sama berulang pada masa hadapan,” katanya ketika menjawab isu jerebu rentas sempadan dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu itu selepas ucap runding oleh Khoo Poay Tiong  (PH-Kota Melaka) yang menyifatkan jerebu sebagai krisis nasional kerana menjejaskan kesihatan awam, keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain dibangkitkan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

Yii berkata jerebu bukan lagi sekadar gangguan bermusim, sebaliknya kecemasan tahunan yang memerlukan tindakan lebih tegas, termasuk penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan serta perkongsian data titik panas dan konsesi secara lebih telus.

Young Syefura pula meminta penjelasan mengenai tindakan diplomatik yang diambil kerajaan terhadap Indonesia, termasuk maklum balas yang diterima dan keberkesanan langkah berkenaan, selain menggesa penguatkuasaan domestik serta perlindungan kepada golongan berisiko diperkukuh.

Menjawab perkara itu, Syed Ibrahim berkata episod jerebu berpunca daripada peningkatan kejadian kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Kalimantan dan Sumatera, yang turut menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di Malaysia, khususnya Sarawak.

Sebagai langkah mitigasi, kerajaan turut melaksanakan 11 siri operasi pembenihan awan dari 30 Ogos hingga 15 Okt dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Cabaran utama dalam pelaksanaan undang-undang yang ada elemen merentas sempadan ini ialah keupayaan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi untuk menentukan punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Syed Ibrahim berkata setakat ini kementerian belum menerima maklumat rasmi daripada Kementerian Luar atau Kementerian Perladangan dan Komoditi mengenai penglibatan syarikat Malaysia dalam kejadian pembakaran terbuka di Indonesia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here