JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan seorang wanita kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan membuat siaran langsung sambil minum air di akaun TikTok miliknya pada Ahad lalu.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
Menurutnya, hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira jam 6.45 petang.
“Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Asri memberitahu, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.
Tambah beliau, JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, tular dalam media sosial memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya ketika bersiaran langsung menerusi TikTok.


