WANITA yang sebelum ini ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selepas dikesan membuat siaran langsung (live) sambil minum air pada bulan Ramadan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, wanita itu menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina atau mempersendakan agama Islam.
“Semasa siaran langsung itu, saya memang tidak ada niat untuk mencaci, menghina, mempersendakan atau memperlekehkan ajaran agama Islam.
“Tujuan saya semasa membuat siaran langsung itu hanya untuk bersantai sahaja, tiada niat untuk berkasar atau menyakiti hati netizen,” katanya.
Dia mengakui perbuatannya makan ketika siaran langsung itu sebagai tindakan yang tidak beradab dan memahami bahawa perbuatannya telah menyinggung perasaan ramai umat Islam.
Selain itu, katanya, dia tidak akan mengulanginya lagi dan akan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Dengan rendah diri, saya memohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Negeri Sembilan dan umat Islam.
“Saya harap semua rakyat Malaysia dan netizen umat Islam memaafkan saya atas kelakuan saya yang tidak beradab semasa siaran langsung itu,” katanya.
Menerusi video tular, wanita terbabit dilihat tanpa rasa bersalah memaklumkan kepada netizen bahawa dia berbangga tidak berpuasa apabila ditegur warganet kerana tidak menjaga sensitiviti pada bulan Ramadan.
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia ditahan JHEAINS di rumahnya di Kuala Pilah.
Dia kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 berkaitan kesalahan penghinaan atau pencelaan terhadap agama Islam.


