SEORANG lelaki bertindak memecut kenderaan dipandunya sebelum merempuh kereta polis dan sebuah kenderaan awam dalam cubaan melarikan diri selepas dikesan memandu dengan cukai jalan tamat tempoh, malam tadi.
Sebelum itu, polis mengejar suspek sejauh 10 kilometer (km) dari kawasan Tikam Batu sebelum akhirnya dia berjaya ditahan di kawasan Sungai Layar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pada jam 9.30 malam tadi, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis ketika itu sedang menjalankan tugas di Jalan Kuala Ketil.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, pada jam 10.10 malam, bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat untuk memberi bantuan kepada MPV polis terbabit yang sedang mengejar sebuah kereta Proton Saga FL yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun selepas memberi arahan untuk berhenti.
“Apabila sampai di kawasan perumahan Taman Seri Tanjung, suspek telah terlanggar sebuah kereta Proton Saga 1.3 milik penduduk yang diparkir di garaj kereta.
“Kemudian suspek terus melarikan diri sekali lagi walau pun sudah diarahkan berhenti.
“Apabila sampai di Jalan Sungai Layar, suspek terserempak dgn kereta MPV polis yang datang untuk memberi bantuan dan dalam cubaan untuk melarikan diri sekali lagi, suspek dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian tepi MPV polis, ” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Hanyan berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, cukai jalan kereta yang dipandu suspek sudah tamat tempoh namun suspek memiliki lesen memandu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek bebas pengarah dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Sebelum ini, kejadian tersebut turut ditular di media sosial sejak malam tadi.


