JIM gempur Hentian Klang, periksa lebih 1,000 warga asing

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 1,000 warga asing menerusi Ops Mega di sekitar kawasan Hentian Klang, hari ini bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi mengejut yang bermula kira-kira jam 12 tengah hari itu menyasarkan lot kedai, premis perniagaan serta hostel yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan penempatan dan aktiviti ekonomi warga asing di daerah Klang ini, lapor Berita Harian.

Tinjauan mendapati pasukan penguat kuasa memeriksa dokumen perjalanan setiap individu bagi mengesan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Difahamkan, pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti penglibatan pihak ketiga atau majikan yang dipercayai melindungi pendatang tanpa izin.

Antara warga asing yang diperiksa terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan Indonesia.

Operasi bersepadu itu turut membongkar beberapa kesalahan lain apabila pihak berkuasa menemukan bukti dipercayai berkaitan aktiviti tidak bermoral serta penjualan barangan terlarang di beberapa unit penginapan sementara yang diperiksa.

Ops Mega itu melibatkan kira-kira 250 pegawai dan anggota penguat kuasa menerusi kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut.

Perincian mengenai hasil operasi dijangka diumumkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam sidang media di Putrajaya, esok.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img