JIM Perlis tubuh pasukan khas pantau rekod kehadiran etnik Rohingya

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) bagi memperkukuh pemantauan terhadap kehadiran etnik Rohingya di negeri ini menerusi semakan serta verifikasi rekod secara menyeluruh.

Pengarah JIM Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, inisiatif di bawah seliaan Bahagian Penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang awam dari semasa ke semasa.

Katanya, antara aduan yang diterima membabitkan isu keberadaan warga asing tanpa dokumen sah, penempatan serta aktiviti pekerjaan dan perniagaan yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.

“Bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai kehadiran etnik Rohingya di Perlis, pasukan khas ini diwujudkan untuk memantau dan membuat verifikasi rekod mereka di seluruh negeri.

“Berdasarkan semakan awal ke atas kumpulan yang dikenal pasti berada dalam komuniti setempat, didapati kebanyakan mereka memiliki kad pendaftaran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam perkembangan terkini pihaknya turut menerima serahan 39 individu etnik Rohingya daripada jabatan dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kesemua individu terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka kini menjalani proses siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mengulas prestasi penguatkuasaan sepanjang Januari hingga Mei lalu, Mohammad A’sim berkata, JIM Perlis melaksanakan 153 operasi yang merangkumi 34 aktiviti risikan dan pemantauan.

Katanya, menerusi operasi berkenaan, seramai 118 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selain merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM369,570.

Beliau berkata, isu berkaitan warga asing perlu ditangani secara profesional, berhemah dan berasaskan fakta serta data yang sahih.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img