JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menyamar sebagai doktor dan menjalankan aktiviti perubatan tanpa tauliah dalam satu Operasi Khas di sekitar Subang Bestari, Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 11.52 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.
Beliau berkata, pasukan operasi menyerbu sebuah premis sebelum menahan suspek yang dipercayai menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah.
“Hasil semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Tangkapan ini merupakan kes keempat sejak tahun 2024 yang dikesan JIM membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan dan dokumen yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk peralatan perubatan, cap nama suspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
Tambah beliau, klinik berkenaan juga dipercayai dikendalikan seorang warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini dan suspek dipercayai diambil bekerja bagi menjalankan tugas sebagai doktor.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa serta meyakinkan pesakit, klinik ini dipercayai menggunakan dokumen APC serta kelayakan perubatan milik individu lain.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati klinik ini dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa melakukan pemeriksaan atau penilaian kesihatan terhadap pelanggan dan mengenakan bayaran RM20 bagi setiap pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, klinik berkenaan dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Zakaria berkata, JIM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.






