NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta jentera dan calon Barisan Nasional (BN) fokus kepada kempen meyakinkan pengundi dengan menawarkan khidmat, hujah dan naratif yang memberi manfaat serta nilai kepada masyarakat.
Sehubungan itu beliau mengingatkan mereka tidak perlu membuang masa sepanjang tempoh berkempen untuk bergaduh dengan pihak lawan.
“Kita kena pergi ke bawah, bincang dengan rakyat, yakinkan rakyat bahawa kita ini bukan parti nak bergaduh dengan orang. Kita kena tunjuk kerja kita, ‘track record’ kita, apa yang kita sudah buat selama ini di Johor.
“Tak payah bergaduh. Sebab kita bergaduh-gaduh pun tak akan ke mana. Jadi kita jangan (gaduh). Kena tunjukkan kita parti politik yang bertanding pilihan raya ini nak jual dia punya ideologi.
“Kita bukan nak jual ideologi kepada pemimpin-pemimpin parti lain. Kita jual ideologi kita ini kepada rakyat. Kita cerita dengan rakyat apa benda yang kita sudah buat, apa kesalahan kita kalau ada, apa tindakan kita membetulkan kesalahan sekiranya ada,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau ditemui media ketika menghadiri majlis pertemuan bersama jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin bertempat di Bilik Gerakan Utama (BGU) DUN Larkin di Johor Bahru hari ini.
Johari berkata, masih banyak kerja membantu rakyat dan membangunkan negeri ini perlu diselesaikan, apabila sekali lagi diberi mandat oleh rakyat.
“Benda-benda (manifesto) yang baru ini akan datang apabila pemimpin itu sudah dipilih, dia orang akan teruskan kerja-kerja untuk memulihkan kedudukan ekonomi, beri manfaat kepada rakyat.
“Masyarakat ini. dia pun malas nak dengar kita punya (masalah) politik ini. Ceritalah apa kamu nak buat,” katanya.
Berucap pada majlis itu, Johari berharap jentera dan kepimpinan UMNO di setiap kawasan mengelak terus berbalah, kerana tindakan sedemikian hanya mengundang parti kalah dalam pilihan raya.
“Kalau parti kita yang besar ini, kalau ada perbezaan pandangan, kemudian kita pilih satu calon (pemimpin), satu calon lagi tak dapat, boleh jadi perang. Jadi akhirnya apa berlaku?.
“Parti yang besar, jentera yang bagus, tetapi apabila kita pergi pilihan raya, selalunya kita kalah. Sebab apa? sebab kita bukan bergaduh dengan orang, tapi kita bergaduh sesama kita kerana perbezaan pandangan,” katanya.
Beliau berkata, tiada guna jika BN yang mempunyai rekod mentadbir cemerlang selama 60 tahun, menang 13 kali Pilihan Raya Umum (PRU), tapi akhirnya gagal menyakinkan rakyat disebabkan wujud sengketa dalaman yang tak dapat diselesaikan.






