KERAJAAN Johor mencipta sejarah baharu pentadbiran negeri apabila buat pertama kali mengumumkan pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi memperkukuhkan gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
“Seiring dengan agenda pembangunan yang semakin pesat dan mencabar, kerajaan negeri melihat keperluan untuk memperkukuhkan kapasiti pentadbiran bagi memastikan setiap dasar, projek dan program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Atas pertimbangan itu, saya telah membawa cadangan kepada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor untuk melantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Johor dan baginda telah berkenan terhadap pelantikan terbabit,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar, hari ini, lapor Buletin TV3.
Onn Hafiz berkata, ADUN Rengit, Zaidi Jafar dilantik sebagai Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala ADUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim sebagai Timbalan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Turut dilantik, ADUN Pemanis, Anwar Abdul Manap sebagai Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam; ADUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof (Timbalan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar); ADUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah (Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta ADUN Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri (Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi).
Selain itu, ADUN Johor Jaya, Chan San San dilantik sebagai Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; ADUN Gambir, Sahrihan Jani (Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); ADUN Layang-Layang, Chua Jian Boon (Timbalan Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya) dan ADUN Kahang, V Rugendran (Timbalan Exco Pendidikan dan Penerangan).
Onn Hafiz berkata, pelantikan itu adalah amanah besar yang perlu digalas bagi membantu memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan.
Katanya, setiap Timbalan Exco akan bekerjasama rapat dengan Exco, jabatan dan agensi berkaitan dalam memantau pelaksanaan projek serta program kerajaan, selain menyelaras tindakan di lapangan.
“Setiap manfaat yang dirancang perlu benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan dirasai rakyat. Kita mahu segala janji manifesto kerajaan negeri dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang dirasai rakyat.
“Saya yakin dengan semangat kerja berpasukan dan komitmen seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri, kita akan dapat mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan aspirasi Maju Johor 2030 dan kejayaan JETP dapat direalisasikan,” katanya.






