POLIS menahan seorang remaja bagi membantu siasatan susulan nahas yang mengorbankan lima individu termasuk empat sekeluarga di Jalan Renggam – Simpang Renggam, Johor semalam.
Suspek akan direman hari ini kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya turut merampas kenderaan Mercedes-Benz A250 yang dipandu remaja berusia 19 tahun itu untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan jam 1.15 petang semalam berpunca daripada tindakan pemandu dua buah kereta mewah iaitu BMW dan Mercedes-Benz yang dipandu secara laju dan melulu.
“Kereta BMW dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Simpang Renggam. Ia kemudian hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat buah kenderaan iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan Mercedes-Benz.
“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun. Kesemua mereka meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bahrin, pemandu kereta BMW tersebut turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Nahas turut mengakibatkan lima yang lain cedera.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.


