Juara SUKMA 2026: Selangor isytihar cuti peristiwa 1 September

KERAJAAN Selangor mengisytiharkan 1 Sept sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di laman sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkara itu pada Majlis Penutup SUKMA 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam malam ini.

Amirudin berkata pengisytiharan cuti peristiwa itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh kontinjen Selangor yang telah mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian cemerlang pada temasya berkenaan.

“Bagi atlet-atlet Selangor, anak-anak kita yang mewakili Pasukan Merah Kuning, setelah 468 acara sukan yang dipertandingkan, anda telah berjaya memenangi sebanyak 101 pingat emas, 73 pingat perak dan 71 pingat gangsa,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu turut mencerminkan komitmen serta usaha gigih atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen Selangor dalam memastikan sasaran negeri pada SUKMA 2026 dapat dicapai.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada kontinjen Selangor sepanjang temasya berkenaan.

“Kepada semua yang telah bersama-sama sejak hari yang pertama, saya mengucapkan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA ke-22 bagi temasya tahun 2026.

“Kepada para jurulatih dan ketua-ketua kontinjen, tahniah atas usaha anda semua untuk mengasah bakat dan mengenal pasti ahli sukan yang baharu,” katanya.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Kontinjen Gergasi Merah menjuarai temasya sukan berprestij itu dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik Selangor ketika pertama kali menjadi tuan rumah SUKMA, 28 tahun lalu, yang turut melebihi sasaran 80 pingat emas.

Kejayaan itu merupakan kali ke-10 Selangor muncul juara keseluruhan selepas menjuarai edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan kali terakhir pada 2016 di Sarawak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here