PRN Melaka: Senario,sentimen sudah berubah…laluan getir menanti BN

SELEPAS kejayaan cemerlang di PRN Johor dan seterusnya mencapai persefahaman dengan PN (Pas dan Wawasan) di Negeri Sembilan (NS) sehingga membolehkan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH), BN kini sedang berkira-kira pula untuk mempertahankan Melaka.

Bagaimanapun apa yang menjadi perhatian adakah BN akan bergerak solo sepertimana di Johor atau mencapai persefahaman dengan PN sepertimana NS atau bekerjasama dengan PH?

Jika berdasarkan kepada keputusan PRN dan PRU sebelum ini, BN perlu berhati-hati dalam membuat keputusan tersebut. Pada PRU-15 BN tidak menang satupun daripada enam kerusi Parlimen di negeri tersebut.

BN tewas kepada PN di Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin manakala di Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah, parti yang dianggap ‘anak dara’ itu kalah kepada PH.

Bagi kerusi DUN pula, BN terus kekal memerintah Melaka selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan manakala PN (2 kerusi) dan PH (5 kerusi). Tetapi persoalannya adakah BN akan mampu mempertahankan 21 kerusi itu? Dan Adakah kemenangan di 21 kerusi itu dianggap BN kuat di Melaka?

Mampukah BN mencapai kejayaan lebih cemerlang di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Jusoh berbanding ketika parti itu diketuai oleh Datuk Seri Sulaiman Md Ali?

Faktanya, senario politik dan sentimen rakyat Melaka sudah berubah selepas PRN lalu malah situasi hari ini dianggap lebih getir. Cabaran utama kepada BN ialah mereka harus mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi.

Daripada 21 kerusi itu, 11 daripadanya dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 iaitu Tanjong Bidara (364), Rembia (860), Gadek (559), Machap Jaya (938), Durian Tunggal (559), Serkam (79), Pantai Kundor (827), Paya Rumput (629), Klebang (876),Pengkalan Batu (200) dan Duyong (200).

Manakala 10 kerusi BN menang atas 1,000 undi iaitu Kuala Linggi (1,836), Ayer Limau (1,085), Lendu (4,016), Taboh Naning (1,825), Asahan (2,993), Telok Mas (2,076), Ayer Molek (2,802), Rim (1,327), Merlimau (3,248) dan Sungai Rambai (1,137).

Penulis memaparkan kedudukan ini kerana  menganggap cabaran BN kali ini jauh lebih getir berbanding PRN lalu walaupun ‘ada orang mahu meminang menanti di ambang pintu’.

BN perlu membuat keputusan yang tepat sama ada mahu bersama PH yang menjadi sekutunya di Pusat atau meneruskan gelombang penyatuan Melayu yang menggegarkan PRN NS melalui persefahaman dengan PN (Pas dan Wawasan).

Sama ada diakui atau tidak, faktanya populariti BN di Melaka bukanlah berada dalam kedudukan selesa sebaliknya tidak mustahil BN akan kalah dalam PRN kali ini jika tidak berhati-hati.

Penulis tidak mahu menyatakan ia disebabkan faktor individu atau parti tetapi yang pasti BN jangan terlalu dibuai mimpi indah sebagai ‘anak dara’. Senario di akar umbi tidak sama dengan perasaan dalam hati, begitu juga hasil kaji selidik pihak tertentu setakat ini.

Senario kali ini berbeza. Kehadiran parti Bersama biarpun tidak mampu menumbangkan BN tetapi Bersama boleh menggugat perolehan undi termasuk di kerusi-kerusi yang BN menang dengan majoriti tipis.

Selain itu BN juga perlu pertimbangkan apakah mereka harus bertanding solo atau bergabung dengan PH atau bekerjasama dengan PN. Kalau bergerak solo lebih menguntungkan maka bergeraklah solo.

Pada pandangan penulis lebih baik BN bergerak solo dan serah kepada rakyat Melaka membuat keputusan gabungan atau parti mana yang mahu mereka pilih.

Apapun terpulang kepada BN, ‘pinangan’ manakah yang mahu diterima, cuma jangan lupa petua menerima atau menolak pinangan, ‘’jangan terima akibat dipaksa dan jangan menolak kerana terpaksa.’’ – apa maksudnya? Tanyalah AI…



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here