PERBUATAN seorang juruwang sebuah premis perniagaan di Kea Farm di Cameron Highlands yang dipercayai beberapa kali menyeleweng wang hasil jualan akhirnya terbongkar selepas aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Suspek yang merupakan seorang wanita ditahan polis semalam susulan laporan yang dibuat majikannya berhubung kehilangan wang hasil jualan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil wang hasil jualan ketika bertugas di kaunter pembayaran.
“Semakan rakaman CCTV menunjukkan wanita itu telah beberapa kali mengambil wang hasil jualan dan memasukkannya ke dalam poket seluar.
“Jumlah kerugian yang dialami premis berkenaan dianggarkan sebanyak RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis turut merampas wang tunai RM350 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah oleh kerani atau pekerja.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan serta denda,” katanya.
Azri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkompromi dengan sebarang salah laku yang membabitkan harta atau wang milik syarikat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






