Kastam Pahang gagalkan seludup 88.39kg e-waste

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 88.39 kilogram sisa elektronik (e-waste) dari luar negara yang dikesan di Pelabuhan Utara di Port Klang, Selangor awal bulan ini.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, sisa e-waste itu ditemukan dalam lima kontena, dengan tiga daripadanya diimport dari Amerika Syarikat manakala masing-masing satu kontena dari Panama dan Sepanyol.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan oleh JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Lembaga Pelabuhan Klang serta SIRIM Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kes ini melibatkan e-waste yang dibawa masuk ke Malaysia, namun pengimport membuat pengikraran dagangan bukan sebagai e-waste sebaliknya mengisytiharkan ia sebagai ‘copper concentrate’.

“Justeru, siasatan awal mendapati niat pihak terbabit adalah untuk membawa masuk e-waste ke dalam negara,” katanya dalam sidang media di JKDM Bentong hari ini.

Mohd Asri berkata, terdapat kilang dalam negara yang memproses e-waste bagi mendapatkan bahan seperti emas, tembaga dan aluminium.

Bagaimanapun katanya, proses itu boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana turut melibatkan bahan plastik yang sukar terurai.

Beliau berkata, berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan melalui Perintah Kastam yang berkuat kuasa 1 April lalu, pengimportan barangan e-waste adalah barang larangan import secara mutlak.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img