Warga emas didakwa buat hantaran dalam media sosial hina mahkamah

SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi menghina mahkamah menerusi media sosial pada Disember tahun lalu.

Idris Mohamad, 68, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat menyakiti hati orang lain dalam laman sosial Facebook menerusi akaun ‘Idris Mohamad’ pada 22 Disember 2025.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1 di Cyberjaya pada 3 petang, 23 Disember 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Idris yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana tidak bekerja dan perlu menjaga isteri yang menghidap masalah buah pinggang.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mei depan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img