PROGRAM NADI @ Shopee dilihat mampu memperkasakan usahawan tempatan apabila ada dalam kalangan peserta mencatat peningkatan jualan sehingga 30 peratus selepas memanfaatkan platform e-dagang itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian tersebut diperoleh hasil penggunaan aplikasi Shopee secara konsisten oleh usahawan yang sebelum ini menjalankan perniagaan secara konvensional.
“Dalam tempoh enam tahun berniaga, ada usahawan yang mula menggunakan Shopee selama tiga tahun dan berjaya meningkatkan jualan sehingga 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Usahawan NADI @ Shopee di The Everly Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, program kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCCM) dan Shopee itu bertujuan membantu usahawan memanfaatkan kemudahan di Pusat NADI sebagai hab pembelajaran serta akses maklumat perniagaan.
Katanya, setakat ini terdapat hampir 1,100 Pusat NADI di seluruh negara yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program ini memberi peluang kepada usahawan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk melalui latihan seperti Shopee University,” katanya.
Tambah beliau, lebih 100 usahawan dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Melaka dan Perak menyertai program berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk meneroka teknologi baharu dalam e-dagang.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kementeriannya sedang dalam proses meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi mengambil kira perubahan teknologi dan keperluan semasa dalam ekosistem penghantaran barangan.
“Pindaan itu akan melibatkan penambahbaikan terhadap definisi Universal Service Obligation agar selari dengan perkembangan industri e-dagang dan penghantaran bungkusan.
“Kita telah menyediakan draf pindaan dan akan membawanya ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat, dengan sasaran untuk dibentangkan menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan pemain industri termasuk syarikat e-dagang dan penyedia perkhidmatan kurier bagi memberi pandangan terhadap cadangan pindaan tersebut.
Pada masa sama, Fahmi berkata, kerajaan akan terus menggalakkan pembelian produk tempatan secara dalam talian, khususnya daripada usahawan luar bandar yang memanfaatkan kemudahan internet berkelajuan tinggi.
“Kita berharap produk-produk yang sangat lokal ini dapat dinikmati terlebih dahulu dalam negara. Itulah hasrat kita, iaitu untuk membangunkan ekosistem keusahawanan dalam kalangan pengguna NADI,” katanya.


