Ke mana arah proses rundingan damai Selatan Thailand?

SEJAK dilantik sebagai Fasilitator Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Leftenan Jeneral (B) Ahmad Norihan Jalal telah membuat kunjungan ke Bangkok.

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan itu turut mengadakan pertemuan dengan  Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow serta Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC), Chaiyapruek Duangprapat.

Misi Ahmad Norihan bukan sahaja untuk memperkenalkan diri tetapi juga berbincang bagi mencari idea bagaimana beliau boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

Sebagai seorang pakar strategis, Ahmad Norihan cuba mengumpul maklumat sebanyak mungkin bagi membolehkan beliau menjadi fasilitator yang benar-benar berkesan demi memastikan kedamaian kekal dapat dibentuk di Selatan Thailand.

Bagaimanapun kesungguhan Ahmad Norihan seolah-olah tidak disukai oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) apabila sejak awal November puak pemisah itu melakukan pelbagai serangan seolah-olah mahu menunjukkan kepada beliau kononya merekalah paling kuat dan berkuasa serta penentu sama ada dialog damai akan berjaya atau tidak.

Sikap ganas puak ini ketara apabila pada 3 November lalu, dua pengganas masuk ke dalam Masjid Darul Islah di Sungai Padi Narathiwat dan menembak seorang bekas ketua kampung sehingga cedera parah. Pada 10 November, mereka mengganas di lapan lokasi di Yala dengan melakukan serangan bom dan membakar harta benda milik awam.

Sehari selepas itu BRN melancarkan pula serangan bom di Satun – satu-satunya wilayah yang sebelum dianggap selamat dan tidak pernah berlaku serangan keganasan.

Selain serangan bom berhampiran pos pemeriksaan keselamatan, mereka juga melakukan tindakan sama ke atas dua tiang elekrik dan akibat perbuatan gila mereka itu tiga pelajar sekolah cedera termasuk seorang parah apabila ketika kejadian van yang naiki melalui kawasan berkenaan.

Tidak cukup dengan Yala dan Satun, BRN mencetuskan pula keganasan di Songkhla apabila meletupkan tiga tiang elektrik kuasa tinggi di tiga lokasi di wilayah. Terbaru mengikut laporan pihak berkuasa Thailand, pada Jumaat dan Sabtu lalu berlaku pelbagai kejadian keganasan di empat wilayah di selatan iaitu  Narathiwat​ di 33 lokasi, Pattani​(19 lokasi), Yala​​ (8 lokasi) dan Songkhla​ (5 lokasi).

Keganasan demi keganasan yang berlaku menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang dimahukan oleh puak pemisah khususnya BRN? Adakah mereka benar-benar mahu membentuk kedamaian di Selatan Thailand yang akan menguntungkan semua pihak khususnya penduduk Islam atau mahu terus berkonfrantasi yang pastinya satu baht pun tak akan menguntungkan sesiapa.

BRN mahu memberi isyarat kepada Ahmad Norihan melalui tindakan keganasan itu kononnya merekalah kelompok paling penting yang harus diberi keutamaan dalam proses dialog damai bukannya puak pemisah lain.

Tetapi soalnya, selama ini apa yang mereka lakukan ketika berada dalam dialog tersebut? Adakah keganasan berjaya dihentikan? Adakah tiada serangan ke atas tentera? Adakah tiada lagi penduduk yang tidak berdosa dibunuh? Adakah tiada lagi kemudahan awam yang dihancurkan?

Kalau BRN berkuasa sangat kenapakah semua itu terus berlaku? Adakah BRN berharap melalui perbuatan ganas itu Pemerintah Thailand akan tunduk dengan desakan atau permintaan mereka?

Hakikatnya semua itu hanya sia-sia kerana sehingga ke hari ini Pemerintah Thailand tidak pernah beralah dengan puak pemisah, biarpun mereka bersedia berunding dengan puak berkenaan.

Malahan baru-baru ini Panglima Wilayah Tentera Ke-4 Thailand Leftenan Jeneral Chakrit Ucharatana menggariskan enam dasar utama untuk membina keamanan di Selatan Thailand.

Mereka menanam tekad menghormati Institusi Raja dan bersedia dalam semua situasi untuk berada di sisi rakyat agar dapat mewarisi kesuburan sumber alam kepada generasi akan datang, dengan menggunakan nilai-nilai murni sebagai panduan dalam menjalankan tugas dengan tekad yang teguh.

Semua itu akan dilaksanakan melaksana enam dasar utama iaitu ​*menghormati Institusi Raja, cintai negara dan cintai tanah air, *​Bersedia bertempur dan bersedia menghadapi segala ancaman,  *​Rakyat mempunyai kekuatan dan komuniti yang stabil, *​Tentera adalah milik rakyat dan sentiasa bersama dalam semua keadaan, * ​Kekalkan kesuburan alam semula jadi untuk anak cucu dan​*Tentera berakhlak, keluarga yang sama.

Melalui enam dasar itu mereka berazam ‘’melangkah ke hadapan dengan tekad, demi keamanan, kestabilan dan kelestarian oleh seluruh rakyat dalam kawasan Wilayah Sempadan Selatan Thai’’.

Kalau difikirkan enam dasar ini dipertahankan sudah pasti ia akan mampu membantu Ahmad Norihan melaksanakan tanggungjawab sebagai Fasilitator kerana ia membuktikan komitmen jitu pemerintah Thailand.

Tetapi cabaran Ahmad Norihan bukannya Pemerintah Thailand tetapi bagaimana mahu memastikan puak pemisah khususnya BRN benar-benar ikhlas dalam rundingan damai.

Atas sebab itulah, BRN tidak boleh diberikan banyak keistimewaan seolah-olah mereka satu-satunya puak pemisah di Selatan Thailand. Selama ini mereka dijemput menyertai rundingan tersebut dengan harapan langkah itu boleh menamatkan konflik.

Namun setakat ini sudah terbukti ia satu niat baik yang tidak setimpal. BRN terus mengganas dan Selatan Thailand tidak juga aman.

Penulis percaya dengan harapan tinggi yang disandarkan kepada beliau dan pengalaman selama 37 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ahmad Norihan pasti mampu menangani sikap BRN serta berunding dengan Pemerintah Thailand.

Isu Proses Dialog Damai Selatan Thailand bukan soal Pemerintah Thailand tidak memberi kerjasama sebaliknya ia disebabkan oleh puak pemisah. Dengan apa yang berlaku ketika ini, ke manakah arah proses tersebut di bawah Fasilitator baharu iaitu Ahmad Norihan…sama-sama kita doakan yang terbaik untuk beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here