Kerajaan teliti kemungkinan had umur penggunaan platform permainan dalam talian – Fahmi

KERAJAAN sedang meneliti keperluan memperkenalkan langkah perlindungan tambahan termasuk kemungkinan had umur dan mekanisme pengesahan umur bagi penggunaan platform permainan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu dilaksanakan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti risiko serta pendekatan kawal selia bersesuaian terhadap perkhidmatan permainan dalam talian.

Katanya, kajian berkenaan merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan.

Menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) di Dewan Rakyat hari ini, Fahmi berkata, kerajaan ketika ini tidak berhasrat memperkenalkan syarat pelesenan khas kepada penyedia perkhidmatan permainan dalam talian seperti yang dilaksanakan terhadap platform media sosial.

“Namun demikian, kerajaan melalui MCMC sedang meneliti risiko dan pendekatan kawal selia yang bersesuaian terhadap perkhidmatan permainan dalam talian.

“MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan di peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan menjadi asas untuk menentukan keperluan memperkenalkan langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan, termasuk kemungkinan pelaksanaan had umur dan mekanisme pengesahan umur.

Menurutnya, penelitian berkenaan mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah mengadakan rundingan awam bagi membangunkan Sub-Kod Permainan (Gaming Sub-Code) bermula 9 September hingga 24 Oktober lalu.

Katanya, proses itu turut membabitkan kumpulan kerja yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.

Maklum balas yang diterima menerusi rundingan itu akan dipertimbangkan bagi menambah baik subkod berkenaan.

Fahmi berkata, kerajaan komited memastikan sebarang langkah kawal selia yang diperkenalkan berasaskan bukti, bersesuaian dengan tahap risiko dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak serta remaja, selain memastikan pembangunan industri permainan dalam talian secara bertanggungjawab.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here